NCT dari Korea Selatan turut beraksi. - FOTO Google
NCT dari Korea Selatan turut beraksi. - FOTO Google
Georgie Joseph


KALENDAR tahunan MTV Asia sememangnya tidak lengkap tanpa penganjuran MTV World Stage. Setiap tahun, acara itu dinantikan pencinta muzik seluruh dunia untuk melihat penghibur kegemaran mereka beraksi.

Bagaimanapun, tahun ini banyak acara terpaksa dibatalkan akibat penularan Covid-19. Seiring dengan norma baharu juga, banyak penganjur kemudian mengambil pendekatan melangsungkan acara sebegitu secara maya.

Tidak ketinggalan MTV World Stage Indonesia 2020 juga bakal diteruskan dengan penampilan artis popular antaranya Anne-Marie dan kumpulan K-Pop, NCT.

Menggunakan teknik produksi maya paling terbaharu, MTV World Stage Indonesia 2020 akan dipancarkan dari tiga lokasi ikonik negara itu iaitu Bali, Lombok, dan Labuan Bajo di mana penghibur akan beraksi berlatarbelakangkan keindahan lokasi itu.

Lebih istimewa, MTV Asia bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia (MOTCE) bagi memeriahkan lagi acara itu. Tujuannya tidak lain juga untuk mempromosikan keindahan Indonesia.

Pengurus Awam ViacomCBS Networks International Asia, Pierre Cheung berkata, mereka percaya muzik tidak akan dimatikan begitu sahaja walaupun dengan situasi pandemik sekarang.

"Kami sangat teruja untuk membawakan kembali program ikonik MTV World Stage Indonesia 2020. Walaupun situasi semasa mengehadkan pergerakan dan acara langsung, program ini membuktikan bahawa muzik itu tiada sempadan.

ANNE-MARIE - FOTO Google
ANNE-MARIE - FOTO Google

"Kami terus berinovasi dan membawakan muzik dunia kepada penonton antarabangsa kami. Begitu juga mencari penyelesaian lebih kreatif untuk rakan kongsi serta pelanggan kami," katanya.

Dengan mengangkat tema Wonderful Indonesia, elemen pelancongan menjadi konsep utama dalam penganjuran pada edisi kali ini. Siaran acara itu akan diiringi dengan video alam semula jadi, hidupan liar, makanan, rekreasi dan kekayaan video dimiliki negara itu.

Ia adalah antara usaha MOTCE bagi terus mempromosikan Indonesia di mata dunia supaya berjaya menarik pelancong kelak. Sebagai inisiatif prihatin terhadap situasi pandemik, kementerian itu turut memperkenal InDOnesia CARE untuk menyokong industri itu.

Menurut jurucakap MOTCE, Wishnutama Kusubandio, mereka mahu menjadikan hiburan sebagai wadah untuk terus menaikkan semangat ramai. Baginya, semua orang kini perlu bersatu untuk terus kuat berdepan dugaan ini.

"Persekitaran semasa kita mungkin segalanya terpalit dengan larangan namun kuasa hiburan kepada komuniti masih kekal kukuh. Bahkan, muzik turut menjadi saluran terbaik untuk terus menyatukan semangat bersama.

"Kami mahu bawa setiap komuniti untuk memanfaatkan hiburan sebegini di samping terus kuatkan diri serta berharap pandemik ini bakal berakhir tidak lama lagi," katanya.

MTV World Stage Indonesia 2020 bakal berlangsung pada 25 Disember, jam 9.50 malam, di seluruh saluran MTV Asia antarabangsa. Saluran itu mampu mencapai 330 juta pelanggan di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 6:39 AM