PANEL meter kelajuan yang ringkas dan lengkap.
PANEL meter kelajuan yang ringkas dan lengkap.
PANEL LCD memaparkan maklumat siaran radio dan navigasi.
PANEL LCD memaparkan maklumat siaran radio dan navigasi.
CERMIN pandang belakang lengkap dengan cermin kecil untuk penumpang baris ketiga.
CERMIN pandang belakang lengkap dengan cermin kecil untuk penumpang baris ketiga.
REKA BENTUK bamper dan lampu belakang yang kemas.
REKA BENTUK bamper dan lampu belakang yang kemas.
GAYA Peugeot 5008 lebih maskulin.
GAYA Peugeot 5008 lebih maskulin.
Oleh Badrila Jamlus


Pengenalan beberapa model kenderaan pelbagai guna (MPV) oleh pengeluar auto­motif tempatan dan antarabangsa sejak kebelakangan ini membuktikan pasaran bagi model MPV mendapat permintaan tinggi rakyat negara ini.

MPV sering digunakan kerana ia boleh membawa lebih ramai penumpang dan menawarkan ruang kargo lebih luas jika barisan kerusi ketiga dan kedua dibaringkan, apatah lagi mereka yang mempunyai keluarga besar.

Bagaimanapun, keperluan menggunakan MPV sebenar­nya tidak khusus kepada golo­ngan individu kerana ia juga boleh dipelbagaikan untuk kegunaan syarikat membawa tetamu atau kakitangan dalam satu-satu masa dengan lebih selesa.

Justeru tidak hairan model MPV keluaran Jepun dilihat mendominasi pasaran dan tidak keting­galan MPV dihasilkan oleh pengeluar automotif dari Eropah yang turut menawarkan ciri tersendiri.

Kesempatan memandu uji model Peugeot 5008 generasi baru edaran Nasim Sdn Bhd jelas memperlihatkan kesungguhan syarikat Perancis ini memberi kelainan dalam mereka bentuk MPV yang bukan saja praktikal kepada seisi keluarga, malah menggabungkan teknologi terkini dalam kejuruteraan automotif.

Ini dibuktikan ketika penulis menekan brek kecemasan berhampiran Istana Negara lama apabila cuba mengelak kenderaan di depan yang berhenti akibat kesesakan jalan raya. Dalam situasi cemas kira-kira jam 11 malam itu, sistem lampu isyarat kecemasan kenderaan ini bernyala secara automatik bagi memberi amaran kepada kenderaan di belakang mengenai situasi ini.

Sebenarnya, ciri seumpama ini adalah ciri standard keselamatan yang mula digunakan beberapa pengeluar kereta Eropah sejak kebelakangan ini seperti Volkswagen dan Mercedes-Benz pada model terbaru masing-masing.

Antara ciri keselamatan yang ­dipadankan pada MPV ini ialah Program Kestabilan Elektronik (ESP), Sistem Kekunci Brek (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Anti Gelinciran (ASR) dan nyalaan lampu isyarat kecemasan automatik.

Dengan jarak asas roda 2,727 mm dengan lebar 2,118 mm dan panjang 4,529 mm, Peugeot 5008 digerakkan dengan enjin berkuasa 1.6 liter dengan Twin Scroll Turbo High Pressure (THP) 16-injap 4-silinder sebaris yang dapat menghasilkan tujahan kuasa pada 165ps bersama tork maksimum 240Nm.

Meskipun dipadankan dengan enjin bersaiz kecil, MPV yang tujuh tempat duduk ini tidak mempu­nyai masalah untuk memecut laju ketika mendaki kawasan berbukit atau memotong kerana ia dilengkapi transmisi automatik 6-kelajuan dengan Tiptronic.

Berbanding model Peugeot 5008 terdahulu, model kali ini tidak banyak berbeza daripada segi reka bentuk saiznya, cuma sedikit perubahan pada bahagian depan dan belakang, khususnya reka bentuk gril depan diberi sedikit sentuhan krom yang dapat memberi impak segar manakala rekaan lampu utama depan lebih 'tajam', menjadikannya lebih menarik.

Meskipun masih mengekalkan kaedah konvensional bagi menghidupkan enjin iaitu menggunakan kunci, rekaan panel dalaman ­model ini tidak terlalu sarat dan mudah untuk capaian pemandu dengan skrin paparan berwarna bersaiz ­tujuh inci bersama sistem navigasi turut disediakan sebagai ciri standard selain sambungan Bluetooth dan USB.

Paparan info pada unit Head Up Display (HUD) yang memaparkan kelajuan semasa, jarak dengan kereta depan (Distance Alert) dan had kelajuan dilihat sangat praktikal dan selamat untuk pemandu menumpukan sepenuh perhatian di jalan raya.

Mengenai aspek keluasan kargo MPV ini, ia boleh memuatkan barangan sehingga kapasiti 656 liter dengan tempat duduk penumpang baris ketiga dilipat sepenuhnya, malah kapasiti ini dapat ditingkat­kan sehingga 2,506 liter jika tempat duduk penumpang barisan kedua dilipatkan sepenuhnya.

Yang menarik, tempat duduk bahagian penumpang boleh dilipat bergantung kepada keperluan. Sebagai contoh, jika hanya seorang penumpang di bahagian belakang, baki tempat duduk penumpang yang tidak digunakan boleh dilipat sepenuhnya dan digunakan untuk meletakkan barangan.

Selain itu, Peugeot 5008 didatang­kan dengan bumbung panorama lebar dengan ciri penghadangnya saja yang boleh dibuka, manakala cermin panda­ngan sisi tengah turut dilengkapi cermin khas yang boleh melihat jelas penumpang belakang, khususnya kanak-kanak, selain tirai bidai siap dipasang di sisi pintu penumpang belakang.

Memandu MPV ini bukan saja menawarkan keseronokan tetapi dilihat praktikal bagi mereka yang gemar menghabiskan hujung minggu bersama keluarga, apatah lagi membawa anggota keluarga yang ramai.

SPESIFIKASI

Peugeot 5008

Enjin: 1,598cc Twin Scroll Turbo High Pressure (THP)16-injap 4-silinder sebaris

Kuasa maksimum: 165ps @ 6,000rpm

Tork maksimum: 240Nm @ 1,400-4,250rpm

Transmisi: Automatik 6-kelajuan dengan Tiptronic

Ciri-ciri keselamatan: Enam beg udara, ESP, EBA, ABS dan EBD, HSA, Isofix dan lain-lain

Harga: RM159,888 (atas jalan termasuk insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 5:01 AM