FOTO AP
FOTO AP
Oleh Noor Azam Abd Aziz di Makkah

Makkah: “Saya ingatkan petir sebab tidak nampak objek, saya lihat orang berpusu-pusu lari dalam keadaan berlumuran darah.

“Ada yang tumbang dan jatuh saya nampak kepala pecah, kaki cedera parah, saya jadi panik dan sebak.”

Demikian kata Mahzan Misni, 49, jemaah haji Malaysia yang terselamat dalam kejadian kren runtuh berhampiran kawasan saie di Masjidil Haram, kira-kira jam 5 petang waktu Arab Saudi (10 malam waktu Malaysia), kelmarin.

Kejadian berkenaan berlaku ketika jutaan umat Islam kini tertumpu di sini untuk menunaikan ibadat umrah dan haji serta hanya tinggal 11 hari lagi menjelang hari wukuf.

Beliau ketika ditemui berkata, sebelum kejadian dia bergegas memasuki masjid berkenaan berikutan ribut pasir dan menunaikan solat sunat di tingkat satu bahagian saie.

Katanya, kejadian ngeri yang berlaku di hadapan matanya itu berlaku dengan pantas menyebabkan dia menggigil dan panik.

“Saya sebak dan hiba melihat keadaan berkenaan dan pergi ke belakang mencari orang kita.

“ Saya lihat ada jemaah dari Turki dan Pakistan cedera. Ketika itu saya mengucap dan beristighfar banyak-banyak melihat kejadian ngeri itu,” katanya.

Mahzan yang menginap di Maktab 88 turut bersyukur dalam kejadian berkenaan dia dan rakan sebiliknya terselamat.

Rakannya, Mohd Razak Jaid, 59, pula berkata, hanya tuhan saja yang tahu perasaannya ketika itu.

Menurutnya, selepas menunaikan solat dan membaca al-Quran di tingkat satu bahagian saie berkenaan dia dikejutkan dengan dentuman yang kuat.

Pesara polis itu berkata, dia menyangka bangunan runtuh berikutan keadaan ketika itu bergegar.

“ Kejadian berlaku dengan pantas saya lihat mayat bergelimpangan macam kena bom.

“ Saya panik, takut bangunan runtuh dan tarik jemaah haji dari Thailand yang berada berhampiran saya supaya berlindung,” katanya.

Pada masa yang sama katanya, dia turut terfikir nasib isterinya yang ke masjid lebih awal bersama rakan sebilik.

“ Alhamdulillah, saya cari isteri saya dan dia selamat,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian jemaah haji yang berada di kawasan berkenaan panik ada berlari keluar dan ada yang masuk untuk melihat kejadian.

“ Saya kemudian cari tempat untuk selamatkan diri kerana risau

akan menyebabkan jemaah haji berasak-asak dan mati terpijak,” katanya.

Jemaah haji wanita, Zurina Zakaria, 59, pula berkata, dia juga bersyukur kerana terselamat dalam kejadian berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian jemaah haji wanita yang berada berhampiran dengannya turut terkejut dan bergegas menyelamatkan diri.

“ Ketika itu saya dapati keadaan gelap dan tiba-tiba ribut pasir berlaku berhampiran Kaabah menerbangkan banyak plastik.

“ Hanya Allah yang tahu ketika itu apabila tiba-tiba bangunan seakan bergegar dan terdengar dentuman yang kuat, saya meninggalkan sejadah untuk selamat diri,” katanya.

Zurina berkata, dia yang panik kemudiannya berlari menyelamatkan diri dan mencari rakan sebilik Zaiton Isa, 57, yang menjadi sahabat baiknya sejak di Madinah.

Ketika itu katanya, dia hanya membayangkan bangunan yang dalam pembinaan berkenaan runtuh dan syukur dapat menemui rakannya itu.

“ Pada sama saya teringat kepada suami saya dan selepas dihubungi saya lega suami terselamat,” katanya.

Tabung Haji (TH) dalam kenyataannya mengesahkan 10 jemaah haji Malaysia cedera dalam kejadian berkenaan.

Kejadian yang berlaku dalam hujan lebat dan ribut pasir itu kira-kira jam 10 malam waktu Malaysia.

Seorang daripada mangsa berkenaan patah kaki sementara lima lagi cedera ringan, kini ditempatkan di Hospital TH.

Mangsa yang cedera terdiri empat lelaki dan dua wanita.

Selain itu, TH sudah menghantar pasukan perubatan di beberapa hospital Arab Saudi untuk mengenal pasti jika ada jemaah haji Malaysia lain terbabit.

Sebagai langkah pemantauan, TH turut membuat lawatan bilik ke bilik untuk mengenal pasti jika ada jemaah haji yang tidak pulang ke bilik.

Ahli keluarga mangsa yang terbabit dengan kejadian sudah dimaklumkan dan sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Pusat Maklumat TH di 03-62071919.

Sementara itu, mengikut laporan Reuters awal pagi semalam, Pertahanan Awam Arab Saudi memaklumkan 107 jemaah terkorban dan sekurang-kurangnya 238 cedera dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 2:37 PM