FOTO dan video Azam Abd Aziz & Jabatan Pertahanan Awam Arab Saudi
FOTO dan video Azam Abd Aziz & Jabatan Pertahanan Awam Arab Saudi
Daripada Noor Azam Abd Aziz

Makkah: Tabung Haji (TH) mengesahkan enam jemaah haji Malaysia cedera dalam kejadian kren runtuh berhampiran kawasan saie di Masjidil Haram, kira-kira 5 petang waktu Arab Saudi (10 malam waktu Malaysia).

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata setakat 8.45 malam waktu Arab Saudi, seorang daripada mangsa berkenaan patah kaki sementara lima lagi cedera ringan.

Menurutnya, mangsa yang cedera terdiri empat lelaki dan dua wanita.

Beliau berkata, pasukan kebajikan perubatan dan peronda TH sudah dikerahkan untuk memberi rawatan dan pemeriksaan di kawasan terbabit.

“Pasukan berkenaan akan membuat tinjauan dan pastikan tiada lagi jemaah haji Malaysia di kawasan itu atau terbabit. Semua yang cedera menerima rawatan di dalam masjid. Tapi, mereka kini dalam perjalanan balik ke hotel untuk rawatan,” katanya.

Jemaah haji yang patah kaki katanya, sudah dibawa dengan ambulans ke hospital TH untuk rawatan lanjut.

Selain itu, katanya, TH sudah menghantar pasukan perubatan di beberapa hospital Arab Saudi untuk mengenal pasti jika ada jemaah haji Malaysia lain terbabit.

Syed Saleh berkata, TH akan memaklumkan perkembangan ini dari semasa ke semasa.

“Apa yang kita tahu kren di luar kawasan saie jatuh di kawasan saie mengakibatkan serpihan bumbung dan sebahagian kren jatuh di kawasan tawaf menimpa jemaah haji,” katanya.

Sebagai langkah pemantauan, katanya, pihaknya akan membuat lawatan bilik ke bilik untuk mengenal pasti jika ada jemaah haji yang tidak pulang ke bilik.

Beliau juga menasihatkan orang ramai jangan percaya kepada spekulasi tidak rasmi mereka perlu merujuk maklumat disiarkan media rasmi TH dari semasa ke semasa.

Ahli keluarga mangsa yang terbabit dengan kejadian sudah dimaklumkan dan sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Pusat Maklumat TH di 03-62071919.

Sementara itu, mengikut laporan Reuters, sehingga 2.30 pagi tadi, Pertahanan Awam Arab Saudi memaklumkan bahawa 87 jemaah menjadi korban dan sekurang-kurangnya 183 orang cedera dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 3:15 AM