FATIMAH  mengutip pakaian yang masih boleh dipakai  di ruang tamu rumahnya yang roboh sambil diperhatikan  Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh Wan Azizi Wan Ab Ghani.
FATIMAH mengutip pakaian yang masih boleh dipakai di ruang tamu rumahnya yang roboh sambil diperhatikan Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh Wan Azizi Wan Ab Ghani.
HM Digital

Kota Bharu: “Selepas solat Subuh, saya sudah rasa tidak sedap hati, macam rumah nak runtuh terutama apabila dengar bunyi dinding rumah kayu ini.

“Tapi saya simpan perasaan itu sendirian sehinggalah kejadian benar-benar berlaku pagi ini (semalam),” kata Azizah Jusoh, 45, yang rumahnya di Kampung Rupek, di sini runtuh dan menghempap dia sekeluarga pada jam 8.30 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, dia bersama anak lelakinya Shahnum Hakimi Mohd Ikhtiram, 16, sempat menyelamatkan diri sebaik mendengar bunyi bumbung yang mahu runtuh.

Manakala, anak perempuannya yang juga kembar Siti Sazwana dan Siti Sazwani, 14, yang ketika itu tidur di dapur, gagal keluar dan tertimbus di dalam runtuhan atap zink dan batu bata.

Kejadian itu menyebabkan Siti Sazwani cedera
di kepala. Turut berada
di rumah itu ketika kejadian ialah emak Azizah, Fatimah Ali, 75.

Menurutnya, rumah pusaka berusia 65 tahun itu semakin uzur dan tidak dibaiki kerana ketidakmampuan mereka sekeluarga.

“Setiap kali ribut atau angin kuat, memang rasa tidak sedap hati kerana bimbang rumah runtuh dan akhirnya kejadian itu berlaku hari ini.

“Syukur kami semua terselamat dan anak hanya cedera ringan. Kembar yang ketika itu tidur dengan berselimut seluruh badan tidak cedera serius kerana dilindungi selimut itu.

“Shahnum Hakimi yang selamatkan mereka apabila nampak kaki seorang daripadanya,” katanya ketika ditemui di tapak rumahnya semalam.

Azizah berkata, untuk sementara waktu, dia sekeluarga akan menetap di rumah abangnya di Pasir Mas kerana bumbung rumahnya sudah roboh bersama lantai dan dinding.

“Yang tinggal hanyalah bahagian dapur dan satu bilik tidur. Kejadian ini sangat tidak diduga apatah lagi kita akan menyambut Aidiladha tidak lama lagi. Namun saya anggap ada hikmah kejadian ini berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 10:13 AM