Kuala Lumpur: Pesilat Korea Selatan mencuri tumpuan peminat ketika membuat kemunculan pertama mereka di gelanggang Kejohanan Silat Terbuka Antarabangsa Malaysia 2015 di Stadium Titiwangsa.

Sucheol Park yang mewakili pasukan Korea A, layak ke suku akhir kelas F putera kategori berat 70 hingga 75kg selepas menewaskan pesilat Belanda, Deve Browwer 5-0, untuk bertemu pesilat Terengganu, Muhammad Khusairy Azhar.

Rakan sepasukannya Seungmook Baek menewaskan pesilat Terengganu, Muhammad Nur Afiq Alias 5-0 dalam kelas Putera E bagi kategori berat 65 hingga 70kg, manakala Min Woo Lee yang mewakili Korea B menewaskan pesilat Kelantan, Mohd Sabri Ab Rashid 3-2 dalam kelas sama.

Jurulatih skuad silat Korea Selatan Mohd Fauzi Khalid berkata beliau amat berpuas hati dengan prestasi dipamerkan pesilat bimbingannya walaupun tampil pertama kali di gelanggang pertandingan.

“Jika mereka terus mendapat latihan tersusun secara intensif, saya yakin dalam setahun atau dua tahun lagi, mereka boleh berada sebaris dengan pesilat Vietnam, Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Mohd Fauzi, 28, bekas juara dunia dan pesilat yang mewakili negara di temasya Sukan SEA di Singapura, berkata tidak sukar melatih pesilat Korea Selatan kerana kebanyakan mereka mempunyai asas dalam seni mempertahankan seperti Taekwondo, Hakeido, Taichi dan Shaolin.

Katanya, yang perlu diperkuatkan adalah dari segi kekuatan pukulan dan daya tahan mereka menahan pukulan lawan. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 8:15 AM