CHIN  memalu gong pada Majlis Perasmian Forum Kewangan Hijau, semalam.
CHIN memalu gong pada Majlis Perasmian Forum Kewangan Hijau, semalam.
Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur : Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) mengunjurkan peruntukan RM2.2 bilion akan diluluskan menerusi skim kewangan teknologi hijau (GTFS) menjelang akhir tahun ini membabitkan sekitar 218 projek dalam pelbagai sektor industri teknologi hijau.

Setakat akhir Jun lalu, GreenTech Malaysia meluluskan 188 projek bernilai RM2.2 bilion membabitkan 26 institusi kewangan bagi menyokong pembangunan projek berkenaan.

Pengerusinya, Tan Sri Peter Chin berkata, dianggarkan 75 peratus projek yang diluluskan setakat Jun lalu membabitkan sektor tenaga dan selebihnya daripada pengangkutan serta pembinaan.

Beliau berkata, pelaksanaan GTSF memberi peluang kepada syarikat dalam industri teknologi hijau mengembangkan perniagaan mereka hasil sokongan kerajaan dan institusi kewangan swasta.

“Dalam perkara lain, 55 peratus jumlah kewangan diluluskan adalah daripada institusi kewangan Islam yang mana ia berkembang daripada 10 peratus pada 2010 iaitu tahun GTSF diperkenalkan.

“Hasil daripada petunjuk ini memberi gambaran institusi kewangan Islam terus menjadi pendorong untuk mengembangkan industri hijau di Malaysia, sekali gus membantu meningkatkan industri kewangan itu sendiri,” katanya pada Majlis Perasmian Forum Kewangan Hijau di sini, semalam.

Forum Kewangan Hijau dianjurkan GreenTech Malaysia bersama Institut Perbankan serta Kewangan Islam Malaysia (IBFIM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 7:36 AM