MAXIMUS Ongkili (kanan) dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika sidang media bersama selepas mesyuarat Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim. FOTO Fariz Iswadi Ismail
MAXIMUS Ongkili (kanan) dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika sidang media bersama selepas mesyuarat Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim. FOTO Fariz Iswadi Ismail

Hayati Ibrahim

[email protected]

Putrajaya: Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) akan dilanjutkan lima tahun lagi mulai 2018 dengan peruntukan sebanyak RM5 bilion.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Panglima Dr Maximus Ongkili berkata, keputusan untuk melanjutkan pelaksanaan skim itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim (MTHPI) pertama yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

"GTFS diperkenalkan pada 2010 dengan dana RM3.5 bilion yang akan tamat Disember ini dan skim ini berjaya melahirkan ramai usahawan tempatan dalam bidang teknologi hijau dengan pembiayaan sebanyak RM2.96 bilion bagi 272 projek.

"Melihat kepada kesannya, mesyuarat MTHPI hari ini bersetuju melanjutkan pelaksanaan skim ini dengan beberapa penambahbaikan yang akan dikenali sebagai GTFS 2.0," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat berkenaan di sini, hari ini.

Maximus berkata, peruntukan RM5 bilion itu bagi tempoh lima tahun bermula 2018 sehingga akhir akhir 2022.

Katanya, pelaksanaan GTFS 2.0 penting bagi memastikan projek berasaskan teknologi hijau yang berpotensi dan berdaya saing akan terus mendapat sokongan pembiayaan, seterusnya menyumbang pada pertumbuhan dan pembangunan teknologi hijau negara.

Menurutnya, perkara lain yang turut dipertimbangkan dalam mesyuarat berkenaan adalah pelaksanaan Program MySuria kepada 1,600 isi rumah miskin tegar dalam kumpulan B40 di seluruh negara mulai bulan ini dengan peruntukan RM45 juta.

"Mesyuarat turut memperakui Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP) yang menggariskan langkah mentransformasi ekonomi Malaysia berlandaskan teknologi hijau untuk mencapai pertumbuhan ekonomi rendah karbon,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 12:20 PM