Kuala Lumpur: Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah antara lapan individu yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, semalam atas pertuduhan menyertai perhimpunan #KitaLawan di ibu negara.

Semua orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu di tiga Mahkamah Majistret berasingan apabila pertuduhan dibacakan.

Di hadapan Majistret Muhamad Faizal Ismail, Maria Chin bersama Anggota Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Sekretariat Bersih, Mandeep Singh dan Pengerusi Jingga 13, Mohd Fariz Musa Abd Talib didakwa melakukan perbuatan itu antaranya berhubung ‘Reformasi dan Bebaskan Anwar’ dan ‘GST Ada Rakyat Mati Dengan Segera’.

Mereka didakwa menyertai protes jalanan itu di hadapan kawasan air pancut persimpangan Jalan Tun Perak dan berakhir di hadapan Kompleks Sogo antara jam 3.15 petang hingga jam 6 petang, pada 28 Mac lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan mahkamah pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju bahawa keempat-empat mereka dibenarkan diikat jamin sebanyak RM500 setiap seorang.

Mahkamah bersetuju dengan permohonan itu dan menetapkan 16 Oktober depan sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 5:03 AM