WALES tidak kisah jika penyerang Real Madrid jadi tumpuan.
WALES tidak kisah jika penyerang Real Madrid jadi tumpuan.

Ben Davies dan rakan sepasukannya di Wales tidak kisah jika fokus hanya terarah kepada Gareth Bale (gambar) jika mereka berjaya mara ke Kejuaraan Eropah di Perancis tahun hadapan.

Wales berada di tangga teratas kelayakan Kumpulan B dan sedar kemenangan ke atas Cyprus dan Israel akan memastikan mereka tampil buat kali pertama di kejohanan itu sejak 1958.

Bale menjadi nadi utama di sebalik kebangkitan Wales dan disebabkan itu skuad kendalian Chris Coleman melonjak ke tangga ke-10 ranking dunia.

Penyerang Real Madrid berusia 26 tahun itu menjaringkan lima gol daripada enam perlawanan setakat ini dalam aksi kelayakan termasuk kemenangan 1-0 ke atas Belgium, Jun lalu.

Ia menyebabkan sesetengah pengkritik melabelkan pasukan kebangsaan itu sebagai ‘Bales’, tetapi ia tidak menyebabkan rasa cemburu di kalangan rakan sepasukannya yang ternyata berbangga dengan kehebatan pemain termahal dunia itu.

“Saya memahami mengapa sesetengah orang memanggil kami ‘Bales’ bukannya Wales tetapi pemain seperti itu datang sekali seumur hidup,” kata Davies.

“Kami dapat melihat dengan jelas akan betapa pentingnya dia dan berharap dia dapat meneruskannya. Gareth seorang yang luar biasa dan kami bertuah memiliki seseorang sepertinya di dalam skuad kami.

“Kami sedar dia memegang peranan penting dalam kempen ini dan jika kami semua memberikan bola kepadanya dan dia berjaya meledak gol, kami gembira jika ia dapat membawa kami ke Perancis.”

Bale tampil dengan aksi penuh tenaga pada kempen kelayakan, menaikkan semangat rakan sepasukan dan penyokong Wales dan meraikan setiap kejayaan sepenuh hati.

Komitmen terhadap negaranya tidak pernah disangsikan, pada 2013 dia melapor diri untuk perlawanan persahabatan de­ngan Republik Ireland meskipun cedera dan dalam proses perpindahan dari Tottenham dan beberapa jam selepas menjaringkan dua gol untuk Real, dia kembali ke negara kelahiran dengan jet peribadi.

“Dia bersemangat untuk membawa Wales ke pusingan akhir,” kata Davies, yang juga pertahanan Spurs.

“Bersama kemampuan dimiliki serta bermain di Real Madrid dengan ramai pemain beraksi di kejohanan utama, dia berhak mendapat peluang itu.

“Melihat seseorang sepertinya yang mampu membanggakan negara, menaikkan semangat yang lain. Kami mahu menjadi pasukan sebaik mungkin, dia meletakkan tanda aras dan kami perlu mencapainya.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 12:50 PM