BALE menunjukkan jersi dan topi LAFC yang dipakainya di Twitter. FOTO Agensi
BALE menunjukkan jersi dan topi LAFC yang dipakainya di Twitter. FOTO Agensi
AFP

Los Angeles: Ketua pasukan Wales, Gareth Bale sah menyertai pasukan Major League Soccer (MLS), Los Angeles FC (LAFC) selepas meninggalkan kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Bale mengesahkan rancangannya untuk menyertai LAFC dalam satu catatan di Twitter berikutan laporan meluas awal Sabtu mengenai perkara itu.

"Jumpa lagi, Los Angeles," tulis pemain berusia 32 tahun itu dan turut disertakan video menunjukkan Bale memakai jersi dan topi LAFC.

Terdahulu Los Angeles Times berkata Bale layak bermain untuk LAFC mulai 1 Julai.

ESPN melaporkan bahawa Bale akan terbang ke Los Angeles pada akhir minggu depan untuk menandatangani perjanjian hingga akhir musim ini, dengan pilihan tambahan setahun.

Bale pernah menjadi pemain termahal di dunia dan menghabiskan lapan musim terakhir bersama Real Madrid, memenangi tiga kejuaraan domestik dan lima gelaran Liga Juara-Juara.

Pemain kelahiran Wales itu menjaringkan 139 gol di peringkat kelab, manakala 39 gol dalam 106 perlawanan antarabangsa untuk Wales.

Bale memainkan peranan penting dalam membantu Wales layak ke Piala Dunia tahun ini, di mana mereka akan menentang Amerika Syarikat, England dan Iran dalam peringkat kumpulan di Qatar.

Ia menandakan kali pertama Wales layak ke kejohanan itu sejak 1958.

Kehadiran Bale adalah sangat penting untuk LAFC membina permulaan yang kukuh bagi saingan MLS.

Bale akan menjadi pemain antarabangsa berprofil tinggi kedua yang disambar oleh kelab berkenaan apabila sebelum ini berjaya membawa masuk bekas pemain antarabangsa Juventus dan Itali, Giorgio Chiellini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 9:35 AM