Gambar fail operasi pencarian tujuh murid SK Pos Tohoi yang hilang. FOTO ihsan bomba
Gambar fail operasi pencarian tujuh murid SK Pos Tohoi yang hilang. FOTO ihsan bomba

Gua Musang: Stoking dipercayai milik seorang daripada tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi di sini, yang hilang sejak 10 hari lalu, ditemui oleh pasukan mencari hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, sehelai stoking berwarna putih itu dijumpai pasukan mencari kira-kira 11.30 pagi di kawasan hutan, lebih sejam berjalan dari SK Pos Tohoi.

"Bahagian tapak stoking yang ditemui itu berwarna hitam dipercayai mereka berjalan hanya memakai stoking sebelum membuangnya untuk meneruskan perjalanan di hutan itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Saiful Bahri berkata, penemuan stoking berkenaan memberi petunjuk baru untuk pasukan mencari menjejaki laluan tujuh murid terbabit yang mungkin tersesat dalam kawasan hutan itu.

Dalam kejadian 23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Pos Tohoi bmelarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Saiful Bahri yang juga komander operasi mencari itu berkata, operasi mencari tujuh murid berkenaan akan dipertingkatkan sehingga mereka ditemui.

Beliau berkata operasi mencari itu membabitkan 65 anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Katanya, gerakan mencari murid terbabit agak sukar kerana tidak boleh menggunakan kenderaan kerana laluan berbukit dan terpaksa berjalan secara berkumpulan. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 5:50 PM