Kuala Lumpur: Institut perbankan tempatan perlu bersedia menyepadukan perniagaan ke arah era digital sebagai langkah mengembangkan aliran pendapatan dan memastikan ia digunakan pengguna digital tempatan yang semakin meningkat setiap hari.

Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Accenture Malaysia, Paul Ng berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana kadar penembusan media sosial di Malaysia berada pada tahap 53 peratus pada Januari 2014 manakala telefon mudah alih 148.5 peratus.

Menurutnya, institusi perbankan bakal mengalami risiko penurunan sekurang-kurangnya 32 peratus daripada hasil keuntungan masing-masing jika gagal menggunakan kelebihan platform digital.

“Bank boleh menggunakan banyak maklumat yang ada di platform ini untuk menghubungkan peniaga dan pelanggan.

“Ia adalah situasi menang-menang bagi semua pihak termasuk bank,” katanya pada sidang media mengenai perbankan digital di Malaysia di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, ketika ini bank di Malaysia bergelut mengekalkan margin faedah bersih di samping kebimbangan pertumbuhan pinjaman akan perlahan pada tahun ini dalam situasi kerajaan menguruskan hutang isi rumah dan ekonomi yang tidak stabil.

“Oleh itu, langkah bank untuk meneroka platform digital secara lebih agresif tepat pada masanya kerana mereka perlu mencari sumber hasil pendapatan baru dan pendigitalan membantu menguruskan kos lebih berkesan,” katanya.

Pengarah Urusan Kanan Perkhidmatan Kewangan Accenture Asean, Jonathon Allaway berkata, ada keperluan mendesak bagi institusi perbankan utama di dunia beralih daripada kaedah operasi tradisional.

“Pada masa ini, kebanyakan institut perbankan di seluruh dunia melakukan perkara terbabit bagi memastikan mereka mampu menjana hasil pendapatan daripada sumber baru,” katanya.

Mengulas mengenai keperluan bank melabur dalam platform digital, Ng berkata, setiap bank perlu melihat segmen yang ingin diceburi, cadangan nilai dan melihat kembali objektif perniagaan masing-masing.

Pada masa ini, kebanyakan bank tempatan melakukan pelaburan dalam platform digital dengan 20 peratus daripada perbelanjaan operasi firma disalurkan bagi meningkatkan kehadiran digital masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 6:14 AM