DARI kiri, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif  Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli, Mohamed Rafique,  Shanti Jusnita  dan Pengarah Urusan/CEO TM, Amar Huzaimi Md Deris pada majlis pertukaran dokumen antara TM dan Maybank Islamic.
DARI kiri, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli, Mohamed Rafique, Shanti Jusnita dan Pengarah Urusan/CEO TM, Amar Huzaimi Md Deris pada majlis pertukaran dokumen antara TM dan Maybank Islamic.

MAYBANK Islamic Bhd dan Telekom Bhd (TM) menjalin kerjasama strategik melalui perbankan sebagai perkhidmatan (BaaS) yang pertama digerakkan oleh 5G.

Perkhidmatan ini direka untuk pengguna dan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menggabungkan perkhidmatan kewangan oleh Maybank Islamic dan pakej mudah alih Uni5G TM, menawarkan akses dan pengalaman yang lancar secara digital kepada pelanggan.

Pakej perkhidmatan perbankan perniagaan mudah alih pertama 'Go Niaga' ini ditawarkan kepada usahawan tempatan dan PMKS bagi membantu menguruskan kewangan, meningkatkan pendapatan dan menawarkan pilihan pembayaran digital yang didayakan rangkaian digital selamat daripada TM.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, kerjasama antara syarikat telekomunikasi terbesar Malaysia dan Maybank Islamic ini membuka peluang baharu kepada bank itu memberikan perkhidmatan perbankan Islam yang unik kepada pelanggan.

Katanya, kerjasama ini merupakan satu inovasi dalam keterangkuman kewangan yang merangkumi penyelesaian Bank BaaS menerusi platform TM.

"Kini, individu atau peniaga tanpa kelayakan pembiayaan atau kurang khidmat bank mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan Maybank dengan liputan rangkaian mudah alih 5G melalui teknologi inovasi daripada TM," katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Komersial bagi Strategi Pengguna & Perniagaan Unifi, Shanti Jusnita Johari berkata, PMKS adalah sektor pertumbuhan penting dalam ekonomi negara yang kini menyumbang hampir 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, namun potensi mereka terhalang oleh akses yang terhad kepada alat digital dan perkhidmatan kewangan.

"Ini lebih ketara dalam kalangan segmen yang kurang berkemampuan, perniagaan mikro dan kecil yang menghadapi banyak cabaran dalam mengakses perkhidmatan kewangan dan inovasi digital yang diperlukan bagi meningkatkan taraf hidup dan sumber pendapatan mereka," katanya.

Bagi membantu perniagaan tempatan menyelaras operasi mereka, pakej Go Niaga menawarkan deposit minimum serendah RM100 untuk membuka akaun SME First Account-i, yang membenarkan pelanggan memisahkan akaun peribadi dan perniagaan bagi membantu meningkatkan penarafan kredit mereka dalam jangka panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 7:01 AM