SEKUMPULAN anggota Tentera Rakyat Korea berehat menanti kereta api yang akan membawa mereka ke sempadan dengan Korea Selatan, minggu lalu.
SEKUMPULAN anggota Tentera Rakyat Korea berehat menanti kereta api yang akan membawa mereka ke sempadan dengan Korea Selatan, minggu lalu.

Selepas berbincang selama lebih 40 jam, Korea Utara dan Selatan akhirnya mencapai kata sepakat Selasa lalu, untuk membolehkan kedua-dua pihak mengelak peperangan, mungkin untuk seketika.

Dalam kenyataan yang dirangka dengan begitu teliti, Korea Utara meluahkan rasa kesal mengenai kejadian yang menyaksikan dua tentera Korea Selatan lumpuh baru-baru ini, akibat letupan periuk api, yang menurut Seoul, dipasang oleh tentera Korea Utara.

Walaupun bukan pengakuan kebertanggung­jawaban atau permohonan maaf secara rasmi seperti yang dituntut oleh Presiden Korea Selatan, persetujuan itu membolehkan Seoul mengisytiharkan kemenangan dalam krisis terbaru antara kedua-dua negara itu.

Korea Selatan pula menghentikan propaganda anti-Pyongyang yang disiarkan menerusi pembesar suara di sempadan kedua-dua negara. Ia membolehkan Korea Utara memaklumkan kepada rakyatnya bahawa ia berjaya mengalahkan musuh ketatnya dalam krisis berkenaan.

Persertujuan yang dicapai itu boleh dianggap sebagai langkah awal untuk mengendurkan ketegangan yang berlaku sejak Korea Selatan menuduh Korea Utara bertanggung jawab terhadap letupan periuk api di sempadan awal bulan ini dan mendorongnya memulakan siaran propaganda sebagai tindak balas.

Walaupun perisytiharan itu hanya retorik, kebimbangan sebenarnya semakin meningkat apabila Korea Selatan melaporkan negara jirannya itu masih meneruskan persiapan untuk menghadapi satu konflik ketika perbincangan berlangsung.

Sempadan yang memisahkan kedua-dua negara itu adalah yang paling berbahaya di dunia, penuh dengan periuk api dan jerangkap samar serta kawalan paling ketat.

Sehingga ini, tiada perjanjian rasmi ditandatangani antara kedua-dua negara untuk menamatkan peperangan antara mereka pada 1950-53.

Yang ada hanya gencatan senjata. Ini bermakna kedua-dua negara itu, secara teknikalnya, masih berperang.

Sementara itu, akhbar Daily Mail minggu lalu menyiarkan beberapa imej menunjukkan kehidupan seharian rakyat di luar bandar di negara itu.

Ia dirakam di kawasan sepanjang laluan kereta api dari Russia ke Pyongyang dan menggambarkan kemiskinan penduduk Korea Utara dan kemunduran kawasan luar bandarnya.

Di mana saja terdapat kuil dan monumen yang dibina bagi meraikan keluarga Kim yang memerintah negara itu secara kuku besi sejak 1948.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 9:21 AM