Jakarta: Kerajaan baru Indonesia memikirkan semula tarikh dan jumlah pemotongan subsidi minyak negara itu ekoran penurunan ketara komoditi berkenaan di pasaran dunia.

Jurucakap Naib Presiden Indonesia, Husain Abdullah berkata, antara isu paling kritikal ialah jumlah kenaikan yang dipersetujui, terutama apabila harga bahan bakar itu sedang menurun.

“Kerana itu harga minyak di negara ini sedang dibincangkan,” katanya.

Awal bulan ini Presiden Jokowi membayangkan harga minyak Indonesia mungkin dinaikkan sehingga Rp3,000 (80 sen) seliter tetapi penurunan 7 peratus minyak mentah di Amerika Syarikat sejak 20 Oktober lalu mengurangkan tekanan untuk kerajaan bertindak segera.

Jokowi yang menjadi presiden sejak 20 Oktober lalu berjanji mengekang bebanan subsidi minyak bernilai AS$23 bilion (RM76.8 bilion) yang menyumbang kepada belanjawan defisit semasa.

Kata Husain, jika mengikut rancangan asal, harga minyak Indonesia akan dinaikkan bulan ini.

“Tetapi kami tidak pasti kerana ada beberapa aspek lain diambil pertimbangan sebelum tarikh sebenar diputuskan,” katanya.

Jokowi dijangka membincangkan isu subsidi minyak dengan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, dan Kabinet selepas pulang dari Sidang Kemuncak G-20 di Brisbane, Australia Ahad ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:05 AM