DUA atlet kanu Brazil, Evaldo Becker dan Piedro Tuchtenhagen sedang mengangkat bot untuk membantu mangsa banjir. FOTO Agensi
DUA atlet kanu Brazil, Evaldo Becker dan Piedro Tuchtenhagen sedang mengangkat bot untuk membantu mangsa banjir. FOTO Agensi
Reuters

Rio de Janeiro: Kurang tiga bulan bermulanya Sukan Olimpik Paris menyaksikan beberapa atlet Brazil membuat keputusan mengejut untuk tidak menyertai temasya itu.

Keputusan itu susulan bencana banjir di selatan negara itu yang musnah teruk hingga mengakibatkan banyak rumah rosak dan musnah.

Dua atlet dari sukan kanu, Evaldo Becker dan Piedro Tuchtenhagen terpaksa mengorbankan impian beraksi di Olimpik bagi membantu mangsa banjir yang kehilangan rumah dan harta benda.

"Saya kata kepada Tuchtenhagen, saya tidak boleh melakukannya lagi," kata Becker kepada Reuters.

"Olimpik adalah impian hidup kita, tetapi kita tidak dapat meninggalkan mangsa banjir yang sedang memerlukan," tambah Tuchtenhagen pula.

Ekoran bencana itu, latihan kedua-dua atlet itu juga terganggu akibat banjir yang membanjiri jalan-jalan ibu negeri Porto Alegre selepas tebing sungai Guaiba pecah.

Lantas pasangan atlet itu mula membantu mengagihkan derma dan menyelamatkan keluarga dan haiwan peliharaan.

"Saya tidak berfikir dua kali. Ia adalah peluang terakhir saya untuk ke Sukan Olimpik. Saya teruja, tetapi air banjir menghilangkan impian saya seperti ia meragut nyawa," kata Becker yang menyertai kumpulan sukarelawan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 12:22 PM