Hafidz bersama isteri, Athira Yuhada. Foto Instagram Hafidz
Hafidz bersama isteri, Athira Yuhada. Foto Instagram Hafidz
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon Hafidz Roshdi, 30, kembali berkongsi di media sosial mengenai kerjaya baharunya sebagai penghantar barang, namun terkilan apabila ada yang memandang rendah terhadap pekerjaan itu.

Menerusi hantaran dibuat di Instagram Story miliknya, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi berkata, dia berusaha bekerja bagi mencari rezeki untuk anak-anaknya dan menyara keluarga.

'Saya 'happy je' (gembira saja) kerja dengan Lalamove, tapi saya terbaca ada pihak yang menghina kerja saya ini.

"Apapun, doakan saya terus sihat untuk dapat berkhidmat demi pendapatan yang halal dan nafkah anak-anak. Apapun, saya tetap bersama Lalamove," tulisnya.

Bagaimanapun, Hafidz tidak memaklumkan sudah berapa lama dia berkhidmat sebagai penghantar barangan, berikutan sebelum ini dia dilihat masih sibuk terikat dengan aktiviti penggambaran drama.

Terdahulu, kisah Hafidz bersama bekas isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri, 30, hangat diperkatakan dengan kehadiran 'orang ketiga' sebelum mereka bercerai talak satu pada 27 Julai tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

Hasil perkongsian hidup dengan Shuhada sejak bernikah pada 30 April 2016, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, kini berusia empat tahun yang di bawah jagaan bekas isterinya itu.

Pelakon drama Tundukkan Playboy Itu di TV3 ini juga sudah menemui jodoh baharu apabila selamat bernikah kali kedua dengan wanita pilihannya dikenali, Athira Yuhada pada 15 Disember tahun lalu.

Difahamkan, sebelum ini Shuhada pernah mendedahkan Hafidz culas membayar nafkah buat kedua-dua anak mereka dan hanya memberikan nafkah sebanyak RM100 untuk setiap seorang, sekali gus RM200 sebulan.

Bagaimanapun, mungkin kerana  isu kewangan dihadapi Hafidz menyebabkan dia didakwa tidak memberikan komitmen penuh terhadap pembayaran nafkah anak-anak yang terus berlarutan baru-baru ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 6:41 PM