Calon Lembaga Pengarah KNM Group, Andreas Heeschen. - FOTO NSTP
Calon Lembaga Pengarah KNM Group, Andreas Heeschen. - FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) KNM Group Bhd (KNM) yang bakal diadakan pada 16 Oktober ini dijangka menjadi titik perubahan kepada kumpulan jika undian diberikan kepada pengurusan baharu.

Ahli lembaga pengarah dicadangkan juga yakin mampu mengembalikan KNM ke arah keuntungan semula serta telah merangka strategi yang dapat membayar kembali hutang syarikat.

Ahli lembaga pengarah dicadangkan itu diketuai oleh puteri Johor Tunku Kamariah Aminah Maimunah lskandariah Sultan Iskandar dan jutawan Jerman, Andreas Heeschen berhasrat untuk mengumpul €110 juta (RM550 juta) melalui bon sebagai sebahagian daripada pelan menyelamatkan KNM yang sarat dengan hutang dan kini berstatus syarikat nota amalan 17 (PN17).

Mereka sebaliknya mahu merancang untuk mengembangkan KNM ke potensi sepenuhnya, dengan rancangan lembaga pengarah baharu itu akan menjadi titik perubahan dan memperkenalkan pertumbuhan mampan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Heeschen yang muncul sebagai pemegang saham kedua terbesar KNM dengan 7.91 peratus kepentingan atau 320 juta saham minggu lalu, bersama enam pemegang saham lain telah mendesak penyingkiran kesemua sembilan pengarah dalam syarikat itu.

Heeschen berkata, pelan strategi yang akan dilaksanakan mereka termasuk suntikan modal dan aset, pelaburan signifikan, naik taraf dalam pengurusan profesional, urus niaga rentas sempadan, kerjasama dengan badan-badan kerajaan, perkongsian dengan syarikat Fortune 500 dan kejuruteraan kewangan.

"Dengan pengalaman yang ada saya akan mempromosikan bon ini sendiri bersama rakan yang telah bekerja dengan saya selama bertahun-tahun. Ia termasuk penempatan bon persendirian dengan pelabur institusi yang saya kenali.

"Terbitan bon ini dijangka mengambil masa kira-kira 90 hari dan saya akan pastikan ia membantu kerugian yang dihadapi KNM.

"Saya sendiri meletakkan wang di sini (pemegang saham KNM) dan sudah pasti saya dan ahli lembaga pengarah dicadangkan yang lain akan memastikan syarikat ini dapat mencapai keuntungan kembali," katanya pada sidang media sempena EGM KNM di sini, hari ini.

Hadir sama, Tunku Kamariah Aminah Maimunah lskandariah Sultan Iskandar, Edwin Silvester Das, William H Van Vliet III, Datuk Abd Ghani Yusof, Flavio Porro dan Datuk Zaidi Mat Isa.

EGM itu mencadangkan pelantikan ketujuh-tujuh terbabit sebagai pengarah baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 7:31 PM