LETUPAN yang memusnahkan pelabuhan di Beirut, Lubnan hingga meragut ratusan nyawa. FOTO AFP
LETUPAN yang memusnahkan pelabuhan di Beirut, Lubnan hingga meragut ratusan nyawa. FOTO AFP
BERNAMA

GAS terhasil daripada ammonium nitrat yang terbakar boleh menyebabkan kematian dan memberi kesan terhadap alam sekitar serta kesihatan.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Madya Ir Dr Mohammed Alias Yusof menjelaskan ammonium nitrat juga boleh menjadi bahan letupan jika dicampurkan dengan diesel mengikut nisbah tertentu dikenali sebagai bahan letupan komersial atau 'Ammonium Nitrate Fuel Oil' (ANFO).

"Letupan ANFO menghasilkan gas nitrogen dioksida berwarna merah dan beracun, jika ia dalam kuantiti yang banyak dan berada di tempat tertutup boleh menyebabkan kematian serta membahayakan alam sekitar.

"Debu dan asap yang terhasil daripada letupan itu boleh menjejaskan kualiti udara yang seterusnya memberikan kesan kepada kesihatan seperti masalah pernafasan dan lain-lain," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ammonium nitrat adalah sebatian kimia dengan formula kimia NH4NO3 yang berwarna putih seperti garam kasar, terdiri daripada campuran ammonium, nitrogen dan oksigen.

Ia biasa digunakan sebagai baja pertanian dan sering menjadi punca banyak letupan industri sejak beberapa dekad lalu.

Mengulas mengenai tragedi letupan di Pelabuhan Beirut, Lubnan pada Selasa, Mohamed Alias berkata, berkemungkinan pada awalnya berlaku kebakaran dan letupan kecil di tempat penyimpanan ammonium nitrat itu.

"Seterusnya ada kemungkinan stor tersebut menyimpan bahan letupan di dalamnya atau di bawah tanah stor.

"Kebakaran daripada ammonium nitrat ini menyebabkan bahan letupan yang disimpan berdekatannya meletup dan berlaku letupan yang amat besar," katanya.

Jelas Mohammed Alias, di Malaysia permit import ammonium nitrat adalah di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mewartakan bahan itu sebagai agen bahan letupan.

"Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi penyimpanan ammonium nitrat pula adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Selain itu, penyimpanan, permit, pengilangan bahan letupan komersial seperti ANFO adalah di bawah Akta Bahan Letupan 1957 yang dikawal oleh PDRM," tambahnya.

Dua letupan besar menggegarkan Pelabuhan Beirut, pada 6.10 petang (waktu tempatan) itu menyebabkan kemusnahan serta kerosakan besar di seluruh ibu kota Lubnan.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 135 orang terbunuh, 5,000 yang lain cedera dan lebih 300,000 hilang tempat tinggal.

Angka berkenaan dijangka meningkat kerana banyak mangsa dilaporkan hilang dan perkhidmatan kecemasan di bandar Beirut beroperasi dalam keadaan tertekan akibat pandemik Covid-19 apabila empat hospital terjejas akibat letupan tersebut.

Maklumat awal mendapati letupan berkemungkinan berpunca daripada 2,750 metrik tan ammonium nitrat yang disimpan sejak 2014 di gudang pelabuhan itu.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 8:42 PM