PEKERJA membersihkan air yang tercemar dengan bahan kimia di Tianjin.
PEKERJA membersihkan air yang tercemar dengan bahan kimia di Tianjin.

Shanghai: Pihak berkuasa China memberi amaran tahap sianida dalam air di sekitar lokasi letupan Pelabuhan Tianjin, minggu lalu, setinggi 277 melebihi tahap dibenarkan, namun mendakwa air untuk minuman di bandar itu masih selamat.

Kerajaan tempatan juga berkata, loji bahan kimia akan dipindahkan dari kawasan itu yang melihat ribuan penduduknya dipindahkan akibat pembebasan bahan kimia toksik akibat letupan yang mengakibatkan 114 kematian itu.

Laporan Biro Perlindungan Alam Sekitar Tianjin dikeluarkan semalam berkata, hasil ujian dilakukan sehari sebelumnya menunjukkan tahap sianida di dalam sungai, laut dan kumbahan di kawasan terbabit naik mendadak sejak nahas itu.

Bagaimanapun pihak berkuasa kesihatan dalam laporan berasingan menegaskan air minuman masih memenuhi tahap piawaian kebangsaan.

Kerajaan mengesahkan 700 tan bahan kimia berbahaya, sodium cyanide, dalam gudang yang meletup lewat Rabu itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 10:47 AM