DAVID Foster semakin teruja mencari bakat terbaik Asia.
DAVID Foster semakin teruja mencari bakat terbaik Asia.
Oleh Georgie Joseph

Bahang pencarian bakat terbaik dari seluruh Asia semakin dirasakan apabila buat pertama kali program realiti Asia’s Got Talent diperkenalkan di rantau ini.

Selepas sambutan hebat terhadap francais program itu menerusi America’s Got Talent dan Britain’s Got Talent, semestinya kemunculan Asia’s Got Talent dinanti-nantikan di sini.

Bakal ditayangkan di saluran AXN (Astro 701) bermula 12 Mac ini jam 8.05 malam dan episod seterusnya setiap Khamis jam 8.30 malam, tentunya penonton sudah tidak sabar apakah bakat luar biasa akan dibawa setiap peserta.

Empat juri tetap yang dipilih untuk Asia’s Got Talent juga bukan calang-calang individu. Mereka ialah penerbit dan komposer tersohor David Foster, bekas anggota Spice Girls Mel C, penyanyi dan pelakon Vannas Wu dan penghibur antarabangsa Indonesia, Anggun.

Ketika ditemu bual RAP baru-baru ini, Foster berkata, dia sendiri teruja mahu melihat apakah bakat Asia mampu dijulang di mata dunia.

Menyedari tugasnya agak sukar, namun dia sudah bersedia sepenuhnya.

“Istimewanya di Asia ini ialah kepelbagaian yang akan dibawakan dan kami sendiri pun tidak pernah terfikir mengenai kemampuan mereka.

“Sebelum ini di America’s Got Talent, ada yang sanggup ke Amerika Syarikat semata-mata untuk menyertai program itu dan berjaya mengagumkan dunia.

“Perkara itu tentu sekali memberikan kami kelebihan kerana di sini pastinya lebih ramai bakat hebat dan kami boleh memilih yang terbaik daripada yang terbaik,” katanya yang sudah memenangi 16 trofi Grammy Awards.

Foster berkata, kemunculan banyak bakat istimewa dari Asia pastinya memberi cabaran kepada mereka untuk memilih yang terbaik.

Mereka mungkin terpaksa melepaskan peserta kegemaran kerana pengakhirannya hanya akan ada satu pemenang saja.

“Hakikatnya, keputusan sama ada peserta mara atau tidak akan mengikut kata putus daripada setiap juri. Begitu juga, peringkat seterusnya akan diserahkan sepenuhnya kepada penonton untuk memberikan mereka kuasa mengundi. Itu sama sekali di luar kawalan kami,” katanya.

Ditanya mengapa dia menerima tawaran sebagai juri, Foster berkata , dia sudah lama mahu terbabit dalam program menampilkan bakat luar biasa yang tidak disangkanya wujud.

“Sejak dulu, saya suka menonton America’s Got Talent kerana formatnya sangat bagus. Dari situ pelbagai bakat ditonjolkan di mana sesetengahnya memang sangat tidak masuk akal dan tidak pernah saya lihat.

“Secara peribadi, saya mahu mencari seseorang yang mampu menjadi ‘superstar’ dunia seperti Madonna dan Rihanna,” katanya yang bertanggungjawab mengangkat nama-nama besar termasuk mendiang Whitney Houston, Celine Dion, Josh Groban, Charice Pempengco, Michael Buble dan banyak lagi menerusi lagu ciptaannya.

Lebih kepada bidang muzik, komposer dari Kanada ini berkata, dia tidak akan bersikap pilih kasih terhadap bakat nyanyian semata-mata.

“Saya adalah seorang yang sangat bagus apabila bersikap objektif. Dalam penghasilan muzik sekalipun, saya bukan mahu tumpukan kepada mainan instrumen saja bahkan mengambil aspek keseluruhan untuk memastikan segalanya mencapai tahap kualiti saya mahukan.

“Begitulah juga pendekatan yang saya terapkan dalam program itu di mana keseluruhan jenis bakat perlu diberi penilaian sama rata. Tugas kami dalam Asia’s Got Talent adalah untuk mencari bakat, bukan penyanyi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 11:19 AM