HASIL kreativiti Zaifie.
HASIL kreativiti Zaifie.
PELAMIN sentuhan Zaifie.
PELAMIN sentuhan Zaifie.
ZAIFIE kini boleh berbangga dengan kejayaan Zaifie Zainal Creation Bridal Gallery.
ZAIFIE kini boleh berbangga dengan kejayaan Zaifie Zainal Creation Bridal Gallery.
Teks & gambar Rodly Fadly

Bermula dengan menyediakan hantaran perkahwinan untuk diri sendiri, siapa sangka, ia rupa-rupanya menjadi pembuka jalan kepada Zaifinidza Zainal Abidin untuk bergelar usahawan butik andaman pengantin yang berjaya.

Kini, jenama Zaifie Zainal Creation Bridal Gallery miliknya semakin kukuh sehingga sentuhannya turut menjadi pilihan golongan kenamaan dan selebriti.

Zaifinidza atau mesra disapa Zaifie, 40, berkata, segala-galanya bermula secara suka-suka kerana minatnya yang mendalam pada bidang seni andaman dan gubahan pengantin. Oleh itu, dia mencuba bakatnya apabila meng–gubah hantaran untuk majlis perkahwinannya dengan Tunku Ariff Tunku Ulin pada 1999.

“Saya yakin mempunyai bakat dalam bidang ini dan terfikir mengapa tidak saya cuba menggubah hantaran perkahwinan saya sendiri. Sekurang-kurang saya boleh menilai sejauh mana bakat saya itu.

“Pada masa sama, saya mendapat kepuasan tersendiri kerana segala idea dapat dicurahkan pada gubahan itu.

“Di samping itu, ia juga menjimatkan. Bukan saja gubahan untuk diri saya, malah gubahan untuk pihak suami pun saya yang menggubahnya. Tak sangka, ramai saudara-mara dan kawan-kawan yang suka, malah mereka terus memberi galakan supaya saya menceburi bidang ini,” cerita Zaifie.

Sejak itu, dia mula menerima tempahan membuat gubahan daripada saudara-mara dan kawan-kawan. Pada awalnya, dia yang bekerja sebagai pereka grafik di sebuah syarikat penerbitan, menceburi bidang gubahan secara sambilan.

“Saya hanya melakukan kerja itu pada waktu malam atau hujung minggu. Saya masih ingat, kadang-kadang sambil melepak dengan kawan-kawan selepas waktu kerja, saya turut membuat gubahan sambil dibantu oleh mereka.

“Ketika itu saya tidak pernah terfikir untuk serius dalam bidang ini. Saya berasa puas dapat melihat hasil kreativiti saya. Pendapatan juga boleh tahan, dapat menampung kehidupan kami yang serba kekurangan, maklumlah baru kahwin,” kata Zaifie.

Lama kelamaan, Zaifie menjadi semakin tidak menang tangan kerana menerima tempahan demi tempahan. Bagi memudahkan urusan, dia menyewa sebuah kios berdekatan tempat kerjanya di Taman Melawati. Dan bermodalkan RM3,330, dia menjalankan perniagaan itu secara kecil-kecilan dan masih secara sambilan.

“Suami saya menjual motosikal kesayangannya untuk dijadikan modal kerana dia yakin dengan prospek perniagaan ini. Namun, ketika itu, kami belum berani membuatnya sepenuh masa sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Ternyata sambutan yang diterimanya semakin hari semakin memberangsangkan sehingga kadangkala dia terpaksa ‘berumah tangga’ di kios itu demi menyiapkan tempahan pelanggan.

“Ketika itu kami belum mempunyai anak, jadi senanglah untuk bawa diri. Balik daripada kerja, saya terus ‘berkampung’ di kios. Kadang-kadang kerana terlalu banyak kerja, kami bermalam di kios. Memang tidak selesa tapi terpaksa demi menyiapkan tempahan pelanggan,” katanya.

Akhirnya, selepas enam tahun menjalankan bisnes itu secara sambilan, dia dan suami sepakat untuk sama-sama berhenti kerja dan memberi komitmen 100 peratus. Bagi Zaifie, inilah perjudian paling berani pernah mereka suami isteri lakukan kerana tersilap langkah, ia akan membabitkan masa depan mereka sekeluarga.

“Ketika itu saya sangat positif dan yakin. Begitu juga dengan keluarga saya dan mentua. Paling memberi semangat kepada saya sudah tentulah suami. Bayangkan, walaupun berjawatan pen-

syarah di sebuah kolej swasta, dia sanggup meletak jawatan untuk sama-sama membantu saya.

“Oleh itu saya bertekad tidak akan mensia-siakan pengorbanannya kerana ia akan menentukan masa depan kami,” ujar Zaifie.

Bermula dengan modal RM20,000 pada 2006, lahirlah Zaifie Zainal Creation Bridal Gallery yang beroperasi di Bandar Tun Hussien Onn di Cheras, Selangor. Selain membuat gubahan hantaran, Zaifie mengembangkan bisnesnya dengan menyediakan khidmat solekan, sewa baju pengantin dan pelamin.

“Pemulaan bisnes banyak cabarannya. Modal kecil serta sewa kedai RM2,000 sebulan, agak sukar untuk kami bergerak secara lancar. Tempahan memang banyak, tapi masalahnya modal untuk membeli barang apatah lagi jika tempahan itu datang serentak.

“Bagi menjimatkan kos, kami menyewakan rumah kami dan kami sendiri berpindah tinggal di kedai yang kami sewa. Bahagian hadapan dijadikan pejabat dan galeri, di belakangnya pula rumah, di situlah tempat tidur kami, juga dapur dan ruang makan,” katanya.

Namun, pengorbanan itu ternyata sangat berbaloi. Zaifie Zainal Creation Bridal Gallery hanya mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk meletakkan nama sebagai salah sebuah butik andaman pengantin yang menjadi pilihan ramai termasuk golongan kenamaan dan artis terkemuka tanah air. Antara artis yang pernah mendapatkan sentuhannya ialah Datuk Hattan dan Diana Danielle.

Hasil sentuhannya juga sering menjadi pilihan media massa malah sebuah stesen televisyen pernah memilihnya untuk mengisi slot usahawan berjaya.

Hari ini, Zaifie, suami dan dua anak mereka, Tunku Harris Karmahani, 11, dan Tunku Lisa Nur Zahraa, 9, tidak perlu lagi berkongsi ruang belakang kedai sebaliknya kini tinggal selesa di rumah tiga tingkat. Malah, Zaifie menjadikan ruang di tingkat paling bawah sebagai galeri.

Bagi Zaifie, dia yakin apa yang dikecapinya sekarang memang sudah diatur oleh Allah.

“Saya memang dilahirkan dalam keluarga yang meminati seni. Emak dulu sangat suka dengan kerja tangan seperti menjahit dan mengait. Emak saudara saya pula seorang pelukis. Saya sendiri memang mempunyai bakat dalam seni kraftangan dan lukisan sejak kecil dan sangat aktif dalam bidang seni di sekolah.

“Memang cita-cita saya hendak melanjutkan pelajaran ke universiti dalam bidang berkaitan seni dan seterusnya bekerja dalam bidang berkaitan. Tapi, takdir menentukan sebaliknya apabila ditempatkan dalam aliran sains.

“Saya tak mahu kerana tidak minat, hasilnya keputusan Sijil Pelajaran Malaysia teruk lalu tidak layak ke universiti,” katanya.

Kegagalan memasuki universiti menyebabkan Zaifie memilih untuk melanjutkan pelajaran ke kolej swasta. Kali ini dia bertekad memenuhi impiannya dengan memilih bidang yang diminatinya iaitu seni grafik dan selepas menamatkan pelajaran, dia bekerja sebagai pereka grafik di syarikat penerbitan.

“Di kolej inilah saya berkenalan dengan suami yang ketika itu juga seorang penuntut. Inilah takdir Allah, jika saya dapat melanjutkan pelajaran ke universiti,

mungkin saya tidak akan menceburi bidang ini dan berjaya seperti sekarang. Mungkin saya akan melakukan pekerjaan lain yang tersasar jauh daripada minat saya,” kata Zaifie.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 1:45 PM