Norhayati Nordin


TEMPOH 19 tahun membina nama dan menjual bakat dalam industri hiburan, ternyata bukan sesuatu yang mudah untuk dipertahankan. Banyak onak dan duri yang sudah ditempuhi.

Bagi penyanyi popular, Misha Omar, 40, kecintaannya terhadap bidang seni begitu menggunung. Sama ada dalam seni suara mahupun lakonan, ibu kepada dua cahaya mata ini sentiasa mahu memberi yang terbaik.

Justeru, peluang keemasan yang datang kepadanya apabila dilamar Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) untuk menjayakan Konsert Bersama Bintang di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 30 Oktober depan diakui sukar dilepaskan begitu saja.

Misha atau nama sebenarnya Samihah@Aisah Omar ketika ditemui pada sidang media baru-baru ini berkata, rezeki untuk menjayakan persembahan berskala besar tidak datang selalu. Apatah lagi, sejak pandemik Covid-19 melanda negara, industri muzik agak suram.

"Hampir dua tahun saya tidak dapat membuat persembahan nyanyian di hadapan penonton dan ia sangat dirindui. Sebagai anak seni yang darah sudah sebati dengan kerjaya ini, memang amat terasa kehilangan nikmat itu.

"Saya pula ada impian besar di hati untuk meraikan hampir dua dekad dalam kerjaya nyanyian dengan persembahan istimewa buat peminat. Jadi, apabila Covid-19 ini muncul dan kes jangkitan terus meningkat, saya sempat berfikir bagaimana dengan impian itu.

"Saya hanya mampu terus berdoa kepada Allah dan alhamdulillah kini impian berkenaan dimakbulkan. Namun, saya perlu membuat pilihan dan pengorbanan kerana Allah tidak memberikan kita semuanya kerana perancangan daripada-Nya adalah terbaik," katanya.

Misha yang menjalani rawatan kesuburan sebagai ikhtiar menambah cahaya mata terpaksa menangguhkan seketika hasratnya dan suami bagi memberi laluan segala fokus serta komitmen ditumpu pada kerjaya seninya.

"Saya adalah seorang yang tidak tahu memberi jiwa separuh-separuh dalam kerjaya. Biasanya, apabila saya sudah memberikan persetujuan itu bermakna saya akan buat sepenuh hati menggalas tanggungjawab yang dipikul.

MISHA akui komited dalam kerjaya seni yang dicintainya.
MISHA akui komited dalam kerjaya seni yang dicintainya.

"Saya juga sedar peminat yang datang menonton nanti semestinya mahukan persembahan terbaik kerana sudah lama tidak menyaksikan konsert nyanyian secara bersemuka di pentas akibat pandemik ini," katanya.

Penyanyi lagu Bunga Bunga Cinta dan Sampai Bila ini berkata, dia bakal menyanyikan 17 lagu popularnya untuk menghiburkan 735 penonton yang menyaksikan konsert satu malam itu dengan harga tiket RM98, RM108 dan RM118.

Katanya, memandangkan konsert ini berlangsung dalam suasana norma baharu, penonton hendaklah mematuhi syarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat ditetapkan iaitu sudah lengkap divaksinasi.

"Syarat utama untuk hadir ke konsert saya ini ialah penonton sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 dan melebihi 14 hari serta memakai pelitup muka. Justeru, saya menggesa pada anda semua untuk memastikan sudah mengambil vaksin lengkap.

TRIBUTE, Misha nyanyikan tiga lagu dari Allahyarham Sudirman, Allahyarham Sharifah Aini dan Allahyarham Siti Sarah.
TRIBUTE, Misha nyanyikan tiga lagu dari Allahyarham Sudirman, Allahyarham Sharifah Aini dan Allahyarham Siti Sarah.

"Harapan saya supaya konsert ini akan berjalan lancar. Ia berikutan penganjurannya bakal menjadi penanda aras buat penyanyi lain untuk mengadakan konsert seterusnya nanti. Saya juga yakin jika kita patuh SOP, Insya-Allah akan dipermudahkan urusan," katanya.

Antara lagu bakal dinyanyikan Misha ialah Cinta Adam & Hawa, Terimaku Seadanya, Dedebu Cinta, Pulangkan, Nafas Cahaya, Ku Seru, Riwayat Cinta, Hingga Ke Akhir Nanti, Tanpa Rela dan Tiada Lagi Tangisan.

Tiket mula dijual di kaunter Box Office, Istana Budaya mulai 20 Oktober ini.

KONSERT Bersama Bintang, kerjasama istimewa Misha dengan OSK di Istana Budaya, 30 Oktober depan.
KONSERT Bersama Bintang, kerjasama istimewa Misha dengan OSK di Istana Budaya, 30 Oktober depan.

Lagu 'tribute'

Bagi melengkapkan konsert penuh makna itu, Misha juga tidak lupa memuatkan tiga lagu 'tribute' buat penyanyi yang cukup dekat di hatinya iaitu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.

Katanya, dia sangat kagum dengan Sudirman kerana lagu dihasilkan sehingga kini masih diminati ramai. Malah, semangat patriotik Allahyarham pada negara juga amat tinggi.

"Saya tidak berpeluang berkongsi pentas dengan Sudirman, tetapi semangat muzik dan lagu nyanyiannya amat dekat di hati. Jadi, saya memilih lagu Merisik Khabar untuk dipersembahkan nanti.

"Bagi Sharifah Aini atau saya panggil Kak Pah, beliau adalah 'diva' yang sangat baik. Saya pernah ada kenangan dengannya dulu ketika awal lagi menjadi penyanyi. Kak Pah panggil saya dan ajak makan bersama di bilik khas beliau.

"Ketika itu kami terbabit dalam satu acara nyanyian. Saya penyanyi baharu yang belum lagi dikenali dan tiada bilik khas disediakan. Tapi, Kak Pah panggil saya makan bersamanya dan arwah banyak memberi nasihat dan paling diingati, dia minta saya jangan boros dan kena ada simpanan," katanya.

Memilih lagu Kau Tinggi Di Awan Biru nyanyian Sharifah Aini, bagi Siti Sarah pula Misha akan menyampaikan lagu Kesetiaan.

Katanya, pemergian Siti Sarah sangat dirasai dan begitu terkesan di hati.

"Saya dan Siti Sarah, kami dah kenal dan berkawan lama. Kami juga mula bertatih membina kerjaya nyanyian masing-masing pada awal 2000. Jadi, banyak kenangan kami bersama dan pemergiannya amat saya rasai.

"Apatah lagi, ketika saya bersusah payah berusaha untuk menumpangkan janin dalam rahim, Allahyarham pula pergi ketika dia sarat hamil dan meninggalkan zuriat yang dikandungnya. Saya pasti semua wanita yang bergelar ibu memahami rasa pilu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 6:00 AM