AZIZ Satar.
AZIZ Satar.
SHARIFAH Aini.
SHARIFAH Aini.
ALI Mamak.
ALI Mamak.
KARTINA Dahari.
KARTINA Dahari.
ADAM Ahmad.
ADAM Ahmad.

* Datuk Ali Mamak (27 Mac 2014) Pelawak terkenal era 80-an, Datuk Ali Mamak atau nama sebenarnya Osman Jantan meninggal dunia pada 27 Mac 2014. Allahyarham yang mula dikenali melalui sitkom Santan Berlada meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana kanser tahap kedua.

Allahyarham yang merupakan anak kelahiran Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka sudah berkecimpung dalam bidang seni hampir 25 tahun dan dianugerahkan gelaran Darjah Seri Melaka (DSM) oleh Kerajaan Negeri Melaka pada 2008 yang membawa gelaran Datuk.

* Taufik Latif (17 April 2014)

Pengacara terkenal era 70-an dan 80-an, Taufik Latif, 69, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada malam 17 April lalu akibat serangan jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Allahyarham Taufik Latif meninggalkan dua anak, Dr Ariff Sukimi dan Anisah.

* Sidek Hussein (28 April 2014)

Pelakon Sidek Hussein, 63, meninggal dunia tengah malam 28 April lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat barah leher. Penyakit itu berpunca daripada ketumbuhan pada pipi yang dihidapinya hampir 30 tahun lalu.

Ketumbuhan yang mencapai berat dua kilogram itu mula muncul ketika berusia 20-an lagi. Selain kanser, Allahyarham turut menghidap penyakit jantung dan paru-paru.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Sebiah Sulaiman dan lima anak. Allahyarham adalah pelakon veteran sejak era televisyen hitam putih dan memulakan kerjaya di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekitar 1970-an.

Dia mula dikenali pada tahun 1982 selepas membintangi filem Toyol sebagai pelakon utama, diikuti filem Potret Maria. Pada 2011, Allahyarham Sidek menerima anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Festival Filem Malaysia ke-24 serta Pelakon Pembantu Terbaik Anugerah Skrin.

* Kartina Dahari (30 April 2014)

Kartina Dahari meninggal dunia di Singapura pada petang 30 April 2014 akibat penyakit barah ketika usianya 73 tahun. Kali terakhir Allahyarham membuat persembahan untuk peminatnya di Konsert Sayang Di Sayang terbitan Esplanade Teater Di Pesisiran sempena Pesta Raya 2013.

Kartina antara biduanita Melayu era 1960-an hingga 1980-an. Allahyarham meninggalkan tiga anak. Antara lagu popularnya, Jangan Ditanya, Sayang Di Sayang, Hati Ke Hati, Sejak Kita Berpisah dan duetnya bersama Datuk Ahmad Jais, Budi Setahun Segunung Intan.

* Adam Ahmad (15 Mei 2014)

Penyanyi dan komposer, Adam Ahmad meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah malam (15 Mei 2014) di Hospital Ampang kerana komplikasi beberapa penyakit seperti tekanan darah rendah, penyakit kencing manis dan jangkitan kuman dalam darah.

Adam Ahmad pernah popular pada era 80-an dengan lagu nyanyian dan ciptaannya iaitu Kau Pergi Jua. Juga dengan lagu Berdiri Seorang Perindu. Lagu ciptaannya yang dinyanyikan oleh Aisyah iaitu Janji Manismu juga pernah memenangi anugerah Muzik-Muzik.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri yang bernama Norliza.

* Datuk Aziz Satar (6 Mei 2014)

Pelakon veteran, Datuk Aziz Sattar, 89, meninggal dunia akibat penyakit jantung di Hospital Kajang pada kira-kira jam 2 pagi (6 Mei 2014). Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi dua anak, menantu dan seorang cucu.

Allahyarham yang dilahirkan di Surabaya, Indonesia adalah rakan seangkatan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham S Shamsuddin yang popular menerusi filem Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok dan Pendekar Bujang Lapok.

Siri filem Bujang Lapok sememangnya kekal segar dalam ingatan peminat filem Melayu sehingga ke hari ini oleh segenap lapisan usia. Selepas era Jalan Ampas, Allahyarham mengarah filem pertamanya iaitu Keluarga Si Comat pada 1975.

Allahyarham kemudian diberi kepercayaan mengarah filem seperti Si Badol, Prebet Lapok, Penyamun Tarbus, Setinggan, Tujuh Biang Keladi, Ok dan Adik yang sekali gus turut melahirkan nama besar dalam dunia komedi seperti AR Badul dan Mr Os.

Ikon lawak negara yang turut dikenali sebagai Pak Ajis ini dilahirkan di Pekalongan, Provinsi Jawa Tengah, Indonesia pada 8 Ogos 1925.

Pemergian Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak, 19 cucu, lima cicit dan seorang balu.

* Datuk Sharifah Aini (5 Julai 2014)

Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah meninggal dunia pada awal pagi Sabtu bersamaan 5 Julai 2014 di Pusat Perubatan Pakar Damansara.

Allahyarhamah yang berusia 61 tahun menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.26 pagi akibat jangkitan pada paru-paru. Allahyarham meninggalkan seorang anak, Aliff Omar. Kak Pah adalah anak kepada pasangan Syed Jaafar Syed Sahil dan Sharifah Noor Syed Ahmad Al-Attas yang dilahirkan di Nee Soon, Singapura pada 2 Julai 1953.

Kak Pah menjadi artis selepas menjuarai pertandingan Bintang RTS 1968 di Singapura dengan lagu Tiga Malam. Dia kemudian disunting menjadi artis rakaman EMI dan terus bertahan dengan label itu selama 38 tahun.

Pernah merakamkan 93 album termasuk 7 album Inggeris, antara lagu popularnya Seri Dewi Malam, Hapuslah Air Matamu, Bunga Tanjung dan Kau Tinggi Di Awan Biru.

Penyanyi itu juga pernah berkolaborasi dengan beberapa penyanyi terkenal antaranya Latif Ibrahim, Broery Marantika dan Sudirman Haji Arshad.

Selain menyanyi, dia pernah berlakon dalam filem Sumber Ilhamku, Bintang Pujaan, Diva Popular dan kemunculan terakhirnya dalam filem Penanggal, tahun lalu.

Hasilnya, nama Kak Pah terukir dalam The Malaysia Book of Records sebagai penyanyi paling lama dengan sesebuah syarikat rakaman dan memiliki 135 album. Sharifah Aini menerima gelaran Biduanita Negara pada 2006.

* Datuk Jamil Sulong (25 September 2014)

Pengarah filem veteran, Datuk Jamil Sulong, 88, meninggal dunia pada 25 September akibat serangan angin ahmar.

Allahyarham yang banyak berkarya pada era kegemilangan sinematik Melayu, menghasilkan filem seperti Batu Belah Batu Bertangkup, Si Tanggang, Bidasari, Cinta dan Lagu, Darah Muda, Dayang Senandong, Dendang Perantau, Gerak Kilat, Gerhana, Isi Neraka, Jasmin, Jebak Maut, Jejak Bertapak, Jiwa Remaja, Lela Manja, Permintaan Terakhir, Ranjau Sepanjang Jalan, Sayang Anakku Sayang, Sepi Itu Indah dan Tuan Badul.

Beliau yang juga suami seniwati Datuk Rosnani Jamil, berasal dari Parit Sulong, Batu Pahat, Johor. Allahyarham meninggalkan empat anak, Murniaty Jamil, Arjunaidi Jamil, Dr Anwardi Jamil dan Asnadi Jamil.

* Datuk Mustapha Maarof (15 Disember 2014)

Seniman filem Melayu klasik, Datuk Mustapha Maarof, 79, meninggal dunia pada 15 Disember 2014 akibat penyakit paru-paru.

Mustapha atau nama sebenarnya Mustapha Azhari Maarof yang juga suami kepada Allahyarhamah Roseyatimah itu dikenali dengan filem seperti Hang Tuah, Bawang Putih Bawang Merah, Seri Mersing dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.

Allahyarham memulakan kerjaya seninya pada 1953. Sebelum menikahi Roseyatimah pada 1967, Mustapha pernah memperisterikan pelakon jelita, Suraya Harun dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Suzlynna.

Allahyarham adalah anak kepada peguam Melayu, Maarof Zakaria yang mengasaskan Bank Kebangsaan Melayu pada 1947 dan nama Jalan Maarof di Bangsar di dinamakan sempena bapa Allahyarham.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:03 AM