Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan siasatan mengenai SRC International Sdn Bhd (SRC International) justeru, tidak timbul isu sudah ada draf kertas pertuduhan berkaitan kes yang sedang disiasat itu.

SPRM dalam kenyataan dikeluarkan di sini sebentar tadi berkata, pihaknya ingin mengesahkan bahawa kertas siasatan mengenai syarikat itu masih belum dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

Menurutnya, seperti mana disebutkan dalam kenyataan media bertarikh semalam, pihaknya masih lagi mengesan beberapa saksi penting bagi melengkapkan siasatan berkaitan isu SRC International itu.

"Pada masa yang sama, kami ingin menekankan bahawa kami tidak akan mendedahkan apa-apa maklumat berkaitan hasil siasatan kepada mana-mana pihak kerana ia satu tindakan bertentangan dengan undang-undang.

"SPRM juga mengulangi bahawa tanggungjawab SPRM adalah menjalankan siasatan berhubung kes-kes rasuah dan bukannya bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak termasuk kerajaan," katanya sebagai mengulas kepada pendedahan dibuat portal Sarawak Report berkaitan kewujudan draf kertas pertuduhan berkenaan.

Katanya, sebagai suruhanjaya yang bebas, SPRM akan menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 4:58 PM