WANITA Kenya kini tidak perlu lagi bersusah payah mencari kayu api untuk kegunaan domestik.
WANITA Kenya kini tidak perlu lagi bersusah payah mencari kayu api untuk kegunaan domestik.
KELDAI sebagai ‘kenderaan rasmi’ untuk membawa peralatan tenaga solar.
KELDAI sebagai ‘kenderaan rasmi’ untuk membawa peralatan tenaga solar.
WANITA Masai jadi penggerak teknologi tenaga solar di Kajiado County.
WANITA Masai jadi penggerak teknologi tenaga solar di Kajiado County.

Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin

[email protected]

Satu ketika dulu, senja adalah waktu yang meresahkan penduduk Magadi, satu perkampu­ngan kecil di Kajiado County di Kenya. Apabila matahari terbenam, petani di kampung itu mula risaukan ternakan termasuk ayam itik mereka yang sering menjadi mangsa dubuk dan harimau bintang.

Pada waktu malam, kampung itu gelap gelita, tiada bekalan elektrik. Kanak-kanak terpaksa me­nyalakan api untuk me­nyiapkan kerja sekolah yang menyebabkan rumah mereka dipenuhi asap.

Kini, keadaan sudah jauh berubah. Apabila kegelapan mula mengintai, semua rumah di kampung itu disinari cahaya lampu. Ya, siapa sang­ka, itu adalah hasil usaha lebih 200 wanita Masai yang menjadi penggerak utama kepada projek revolusi tenaga solar.

Kumpulan wanita itu, yang dilatih untuk memasang panel solar menggunakan keldai bagi mengang­kat peralatan solar dari rumah ke rumah di wilayah terpencil itu. Usaha mereka itu membolehkan banyak keluarga di kampung itu menikmati sumber tenaga yang bersih dan boleh diharap.

“Bagi kami, impak tek­nologi solar ini tiada tandingannya,” kata Jackline Naiputa, ketua kumpulan Osopuko-Edonyinap, satu daripada lima kumpulan wanita yang menerajui bekalan tenaga alternatif di kawasan berkenaan.

Pemaju tenaga yang boleh diperbaharui, Green Energy Africa, membekalkan kumpulan berkenaan dengan peralatan solar termasuk panel solar, lampu dan bateri yang boleh dicaj semula pada harga diskaun. Wanita itu kemudian menjual produk berkenaan dengan keuntungan 300 shilling (RM11) setiap satu. Keuntungan berkenaan akan masuk ke dalam akaun kumpulan untuk dijadikan modal bagi membeli stok baru.

Naiputa, yang kehilangan 10 ekor kambing pada 2014 berkata, anak lelakinya dulu terpaksa berjaga dalam kesejukan malam bagi mengawal ternakan mereka daripada dicuri haiwan liar.

Kini dengan adanya lampu yang dipasang sekitar kawasan rumah, Naiputa dan empat anaknya boleh tidur lena.

“Cahaya lampu ini menakutkan dubuk, jadi kami tidak perlu lagi bimbang ternakan dimakan haiwan liar pada waktu malam,” katanya.

Usahawan wanita

Women and Entrepreneurship in Renewable Energy Project (WEREP) adalah inisiatif yang digerakkan oleh Green Energy Africa, bertujuan menukar Kajiado County sebagai pusat tenaga solar dengan melatih wanitanya menjadi pemasang peralatan solar dan menggalakkan mereka memasarkan atau memperkenalkan konsep tenaga bersih kepada lebih ramai orang.

Sebenarnya gerakan tenaga solar ini baru saja bermula - pada November 2014 dan sehingga kini sebanyak 2,000 rumah di negara itu sudah menggunakan teknologi solar.

Kata pakar tenaga, pencapaian itu amat memberangsangkan, daripada kawasan yang tiada bekalan elektrik pada 2006 kepada 20 peratus penggunaannya, menurut anggaran yang dilakukan kerajaan menerusi Projek Pengurusan Sumber Tanah Gersang.

Tenaga solar mempunyai banyak kelebihan khususnya dari segi kos, keselesaan dan kesihatan berbanding peng­gunaan minyak tanah dan kayu api.

“Pasar paling dekat untuk membolehkan kami mengecas telefon bimbit atau membeli minyak tanah terletak 15 kilometer dari sini dan ia hanya diadakan seminggu sekali,” kata Naiputa.

Sebelum beralih kepada tenaga solar, dia membelanjakan 40 shilling Kenya (RM1.50) sehari bagi membeli minyak tanah dan lebih 100 shilling (RM3.70) seminggu untuk mengecas dua telefon bimbit keluarganya.

Selain membantu menjimatkan perbelanjaan penduduk kampung, peralihan kepada tenaga solar juga dapat memperlahankan kemusnahan pokok di wilayah berkenaan yang kini hanya meliputi satu peratus daripada luas keseluruhan tanah di situ, menurut Badan Pe­ngurusan Alam Sekitar Kebangsaan di Kenya.

Apabila semakin ramai penduduk kampung memilih untuk menggunakan tenaga solar berbanding kayu api dan arang bagi menyalakan lampu atau memanaskan rumah, semakin kuranglah yang berdepan dengan risiko kesihatan akibat menghidu asap. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) 2014, asap daripada api kegunaan domestik bertanggungjawab menyebabkan 1.6 juta kematian di seluruh dunia.

Potensi solar

Ketua Pegawai Eksekutif Green Energy Africa, Edwin Kinyatti berkata, lebih ramai dijangka akan bertukar kepada tenaga solar kerana kosnya ‘mampu dibayar’ oleh kebanyakan penduduk Kenya walaupun ada hala­ngan budaya, tahap celik huruf yang rendah dan bentuk muka bumi yang mencabar untuk memperluaskan usaha wanita Kajiado County itu.

Memang jumlah golo­ngan pertengahan di Kenya semakin meningkat, tetapi akses kepada tenaga elektrik masih rendah, apabila 68 peratus daripada penduduknya masih dikategorikan sama ada terlalu miskin atau ting­gal di kawasan pedalaman yang terlalu jauh untuk disambungkan dengan bekalan elektrik nasional.

“Kenya ada potensi besar untuk menggunakan tenaga solar sepanjang tahun kerana kedudukannya yang hampir dengan garisan Khatulistiwa,” kata Lamarck Oyath, pakar tenaga dan pengarah urusan di Lartech Africa Limited dan syarikat perundingan.

“Bagaimanapun, setakat ini tenaga solar hanya me­nyumbangkan dua peratus daripada sumber tenaga di seluruh Kenya,” katanya.

Namun bagi penduduk kampung seperti Naiputa, tenaga solar memberi mereka banyak manfaat bukan dari segi sumber tenaga bersih semata-mata.

“Budaya masyarakat kami (Masai) tidak membenarkan wanita mempunyai harta, tetapi kini wanita di sini memiliki teknologi solar dan ia membuatkan kami amat gembira dan bangga,” katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 3:21 PM