Panel solar PV dipasang di Masjid al Quddus, Paya Bemban, Kota Bharu
Panel solar PV dipasang di Masjid al Quddus, Paya Bemban, Kota Bharu

Kota Bharu: Menyahut inisiatif kerajaan dalam memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE), Jawatankuasa Masjid al Quddus Paya Bemban, di sini, memanfaatkan ruang bumbung masjid berkenaan dengan pemasangan panel solar PV (fotovolta) yang mampu menjana 5 kiloWatt peak (kWp) tenaga elektrik.

Menurut wakil Jawatankuasa Masjid al Quddus, pemasangan panel solar itu secara langsung dapat memanfaatkan setiap ruang binaan masjid dan pada masa sama mampu menjana sumber kewangan bagi kegunaan aktiviti masjid di samping dapat menampung kos pengurusan dan pembayaran bil elektrik secara bulanan.

Katanya, melalui program ‘feed in tariff’ itu, Masjid al Quddus menerima hasil jualan tenaga elektrik berjumlah RM600 sebulan bagi tempoh 21 tahun.

“Tenaga elektrik yang dijana menerusi panel solar PV itu akan dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy Power Purchasing Agreement),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Green Energy Generation Sdn Bhd, Ku Sairy Ku Din selaku pihak yang bertanggungjawab memasang dan membekal panel solar PV di Masjid al Quddus berkata, usaha yang dilakukan oleh jawatankuasa masjid itu harus dijadikan contoh.

Katanya, ia membantu dalam meringankan beban kewangan yang ditanggung pihak pengurusan masjid dan secara langsung menyokong hasrat kerajaan dalam pembangunan dan penggunaan teknologi hijau.

“Saya berharap lebih ramai pihak tampil membantu atau menaja pemasangan panel solar Pv di rumah ibadat, sekolah dan pusat komuniti lain. Ia juga secara langsung membantu pengurangan pembebasan Karbon dioksida CO2 ke udara,” katanya.

Menurutnya, kos pemasangan bagi setiap 1kWp adalah sekitar RM10,000.00.

Katanya, syarikatnya adalah sebuah syarikat yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) dan Syarikat Perkhidmatan Tenaga (ESCO).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 4:27 PM