Oleh Ruhaiza Rusmin


Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL), Selangor meraih pingat emas dan Anugerah Emas Kategori Umum bagi reka cipta Solar Energy Safety Helmet, baru-baru ini.

Ia diraih di pertandingan Inovasi dan Rekacipta Pelajar 2014 (IkRAR 2014) anjuran Jabatan Pengajian Kolej Komuniti (JPKK).

Pengarah KKKL, Zainah Rujihan berkata, kejayaan itu menjadi landasan meng­galak budaya penjanaan kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar.

"Pertandingan ini menjadi platform kepada pelajar menyumbangkan idea dalam bidang masing-masing.

"Ia membantu pelajar memperbaiki kelemahan sedia ada dengan menghasilkan hasil reka cipta lebih baik," katanya.

Pensyarah pembimbing bagi rekacipta Solar Energy Safety Helmet, Kaslia Kasiran berkata, reka cipta berkonsepkan Go Green itu mengambil masa seminggu disiapkan.

"Kami memilih idea ini kerana ketidakselesaan memakai topi keselamatan sedia ada di pasaran.

"Kami meletak panel solar di topi keselamatan sebagai sumber tenaga untuk menggerakkan kipas yang topi itu," katanya.

Sebanyak enam bidang dipertandingkan iaitu tek­nologi maklumat dan komunikasi, kejuruteraan, pemprosesan makanan, fesyen dan pakaian, teknologi pembuatan dan reka bentuk dan umum.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:00 AM