Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Gentari Sdn Bhd melalui anak syarikatnya Gentari Green Mobility Sdn Bhd (Gentari) melancarkan Gentari Go, platform yang menawarkan gaya hidup mampan bersepadu dengan menyatukan ekosistem tenaga bersih.

Dengan menampilkan mobiliti hijau dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, Gentari Go kini diaktifkan di Malaysia dengan pelancaran serantau yang dirancang untuk Asia Tenggara dan India pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility, Shah Yang Razalli berkata, aplikasi itu direka untuk pengguna yang ingin beralih kepada tenaga bersih dengan matlamat untuk menjadi pilihan pengguna memulakan perjalanan tenaga bersih.

Menurutnya, platform itu penyelesaian yang komprehensif dan holistik untuk gaya hidup yang lebih mampan dengan ia menawarkan pengalaman pengecasan EV yang lancar serta bersifat intuitif yang mana ia dibina di Asia untuk Asia.

"Kami merintis penyepaduan tenaga bersih yang lancar, melangkaui pengecasan EV kepada penyelesaian tenaga rumah. Gentari Go menawarkan antara muka ringkas dan elegan yang membimbing pengguna kali pertama melalui proses penemuan, pengaktifan dan pembayaran dengan mudah.

"Bagi pengguna berpengalaman, kami menyepadukan ciri lanjutan seperti keluk pengecasan, memberikan cerapan masa nyata tentang penggunaan tenaga ketika sesi pengecasan dilakukan," katanya pada majlis pelancaran aplikasi berkenaan di Sentul, di sini, hari ini.

Membina perkongsian perayauan awal dengan EV Connection dan ChargeEV yang menyediakan pengguna akses kepada lebih 70 peratus titik pengecasan di Malaysia, Gentari Go kini memperkasakan pengecasan merentas sempadan.

Ia melalui Koridor Pengecasan EV pertama dari Singapura ke Thailand, dengan kerjasama Pusat Pengecasan serantau Operator (CPO) seperti CDG Engie, City Energy Go dan EVolt serta pengurusan titik pengecasan dengan Virta diperakui.

Shah berkata, perkongsian itu membolehkan akses kepada lebih 2,000 pengecas di seluruh Malaysia, Singapura dan Thailand.

Katanya, platform itu menawarkan pilihan untuk menyewa EV melalui perkongsiannya dengan GoCar, sekali gus membantu pengguna membuat lonjakan daripada kenderaan Enjin Pembakaran Dalaman (ICE) kepada Kenderaan Elektrik (EV).

Menurutnya, selaras matlamat Gentari Go untuk menjadi rakan kongsi gaya hidup mampan pilihan pengguna di seluruh Asia Pasifik, platform itu menggabungkan tiang tenaga boleh diperbaharui Gentari disokong penyelesaian tenaga rumah seperti pengecasan rumah EV dan solar.

Aplikasi Gentari Go kini boleh didapati melalui Apple App Store dan Google Play Store yang mana ia sudah boleh digunakan bermula jam 10 malam ini.

Pengguna boleh menikmati diskaun 10 peratus untuk 10 transaksi pengecasan seterusnya daripada aplikasi itu dan ia sah di semua tempat pengecasan Gentari di seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 9:28 PM