Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: UMNO Johor menerima ketetapan berhubung keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat rombakan Kabinet pada petang tadi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya berdoa barisan kabinet baru dilantik mampu menyelesaikan masalah dihadapi negara.

Beliau berkata, ia sebagaimana keyakinan Perdana Menteri untuk menyelesaikannya dalam masa munasabah.

Menurutnya, ketika Perdana Menteri ke Johor pada 15 Mei lalu, UMNO Johor membuat keputusan bahawa beliau perlu diberi kekuatan untuk menyelesaikan isu dihadapi khususnya berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Jika soal untuk mempunyai kekuatan termasuk rombakan dilakukan terhadap barisan kabinet termasuk menggugurkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita menerima ketetapan itu.

"Lebih-lebih lagi kita sedar bahawa ia adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Mohamed Khaled merangkap Menteri Besar Johor berkata, dalam pada itu, perlu diambil peringatan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin masih Timbalan Presiden UMNO.

"Di Johor, saya tiada sebarang halangan bagi mana-mana bahagian yang sudah dan ingin menjemput beliau untuk merasmikan mesyuarat Umno bahagian masing-masing.

"Saya berharap rakyat dan ahli UMNO khususnya Johor dapat bersabar dan mengharungi saat ini dengan penuh kesabaran dan kekuatan.

"Semoga Allah memberikan kita semua kekuatan untuk akhirnya mendapat kebenaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 11:42 PM