Oleh Azlan Muhammad Zain


 Kuala Lumpur: Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan menjadi gelanggang final Piala FA 2015 yang dijadual berlangsung pada 23 Mei nanti.

Ia disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dengan pemeriksaan terakhir akan dijalankan pihaknya dalam masa terdekat bagi memastikan semua persiapan berjalan lancar.

Kualiti rumput padang SNBJ sering menjadi kritikan hingga memaksanya ditutup untuk tempoh tertentu sebelum ini.

“Pihak Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM melakukan pemeriksaan kualiti padang di SNBJ minggu lalu dan keadaannya dilaporkan baik.

“Ia boleh dikatakan dalam keadaan 95 peratus dan menjelang minggu depan saya jangkakan semuanya akan sempurna. Bagaimanapun seperti biasa, ia akan diperiksa sekali lagi minggu depan sebelum final berlangsung,” kata Hamidin.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Azman Fahmi Osman berkata, SNBJ kini menggunakan rumput jenis ‘national grass’ (sejenis rumput dalam kategori cow grass).

“Proses penanaman rumput sudah siap cuma perlu pastikan semua kawasan tumbuh dengan sempurna. Kami bertungkus-lumus menyediakan stadium bagi membolehkan ia digunakan untuk final nanti,” jelasnya.

Dua pasukan ke final Piala FA edisi ke-25 ditentukan Sabtu ini dengan saingan membabitkan tiga pasukan pantai timur iaitu Pahang (juara bertahan), Kelantan dan Terengganu selain pasukan jemputan dari Singapura LionsXII.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 7:21 AM