Toronto, Kanada: Emiliano Grillo yang memulakan minggu ini tanpa mengetahui sama ada dia boleh memasuki negara itu, mencatat lapan bawah par 64 untuk mendahului satu pukulan selepas pusingan pertama Terbuka Kanada.

Pemain Argentina berusia 22 tahun itu melalui aksi tanpa bogey untuk mengatasi Vaughn Taylor dan Brian Harman semalam apabila layak menyertai acara Jelajah PGA selepas menduduki kelompok 10 pemain terbaik pada kejohanan Barbasol di Alabama, minggu lalu.

Pemain AS, Harman dan Taylor berkongsi tujuh bawah par 65 untuk menduduki tempat kedua di Kelab Golf Glen Abbey.

Erik Compton, Steve Wheatcroft, pemain Afrika Selatan, Tyrone Van Aswegen dan pemain berusia 17 tahun dari Australia, Ryan Ruffels ketinggalan satu pukulan dan berkongsi tempat keempat dengan enam bawah par 66.

Grillo tidak pernah menang di Amerika Utara kerana dia banyak menghabiskan masa dalam Jelajah Eropah namun mempertimbangkan untuk berpindah pada masa depan memandangkan mudahnya dia membiasakan diri dengan suasana permainan di Atlantik.

Sebaik mengetahui dia layak bermain minggu ini, keutamaan Grillo adalah cuba untuk mendapatkan visa Kanada.

Selepas berbincang dengan beberapa orang, dia memutuskan cara terbaik adalah pergi ke sempadan AS-Kanada dan memohonnya sendiri.

Jadi dia pergi ke Buffalo, New York sebelum memandu ke sempadan untuk mencuba nasib.

“Ya, ia minggu yang gila. Lapan atau sembilan hari sebelum ini memang gila,” kata Grillo.

“Mereka memberitahu saya, tidak mungkin untuk mendapatkan visa tepat pada masanya jadi saya perlu pergi ke sempadan Kanada dan meminta kebenaran untuk bermain pada kejohanan ini.

“Saya bertanya kepada mereka dan memberitahu saya tidak mempunyai visa. Saya datang untuk memohon permit.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:03 AM