BRIAN Harman (gambar) melakukan putt sejauh 28 kaki untuk birdie pada lubang teakhir untuk menjuarai Kejohanan Wells Fargo semalam mengatasi Dustin Johnson dan Pat Perez dengan kelebihan satu pukulan.

Harman, yang mencatat kejayaan sebelum ini pada Kejohanan Klasik John Deere 2014, mencatat birdie pada dua lubang terakhir untuk menafikan peluang rakan senegara dari Amerika Syarikat Johnson mencatat gelaran PGA keempat berturut-turut dalam acara kemunculan semula selepas gagal beraksi di Masters berikutan kecederaan belakang.

“Sudah pasti ia begitu emosional,” kata Harman.

“Saya berjuang bersungguh-sungguh. Saya bekerja begitu keras. Yang ini memang hebat.”

Harman mencatat empat bawah par 68 untuk menamatkan aksi 72 lubang dengan 10 bawah par 278 keseluruhan di Kelab Golf Eagle Point di Wilmington, Carolina Utara.

Johnson, yang menyamai catatan terendah pusingan hari itu dengan dua kali melakukan 67 pukulan berkata, dia cergas secara mental dan fizikal dalam usaha mempertahankan gelaran Terbuka AS bulan depan di Erin Hills.

Dia akan berdepan pemain terbaik dunia sekali lagi dalam Kejuaraan Pemain-pemain.

“Saya gembira dengan haluan permainan ini minggu depan,” kata Johnson.

“Secara fizikalnya saya baik. Semuanya 100 peratus. Saya rasa hebat. Hayunan saya tiada masalah.

“Bagaimanapun saya masih perlu membuat banyak latihan. Saya tidak tahu apa yang perlu dijangkakan minggu ini. Saya tidak dapat berlatih dengan cukup menjelang minggu ini.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 4:08 AM