AFP

Los Angeles: Hudson Swafford (gambar) akhirnya menyertai kelompok juara semalam selepas melakukan lima bawah par 67 memberikan kelebihan satu pukulan untuk menjuarai kejohanan Cabaran CareerBuilder dalam Jelajah PGA.

Pemain Amerika Syarikat berusia 29 tahun itu mencatat tiga birdie dalam empat lubang terakhir untuk meraih kejuaraan sulung Jelajah PGA AS selepas mencuba 93 kali.

“Ini impian menjadi kenyataan,” kata Swafford.

“Saya tidak leka, tidak melihat kepada papan markah, tidak tahu di mana kedudukan saya.”

Dia mengumpul 20 bawah par 268 keseluruhan untuk mendahului satu pukulan berbanding pemain Kanada Adam Hadwin, yang menamatkan saingan dengan 70 pukulan sehari selepas mencatat 13 bawah par 59 pada pusingan ketiga di La Quinta Country Club berhampiran Palm Springs, California.

Bud Cauley dan Brian Harman masing-masing melakukan 69 pukulan dan menamatkan saingan berkongsi tangga ketiga dengan 18 bawah par 270 keseluruhan.

Swafford berada dalam tahun keempat Jelajah dan tidak pernah menamatkan saingan lebih tinggi daripada berkongsi tangga kelapan.

Menerusi lima kejohanan musim ini, penamat terbaiknya adalah berkongsi tangga ke-13 pada kejohanan Terbuka Sony minggu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 10:13 AM