AZLIZAN bersama rakan sepasukan ketika menyertai sirkit ketiga di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
AZLIZAN bersama rakan sepasukan ketika menyertai sirkit ketiga di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Melaka: Teruja dengan trek lasak sepanjang Harian Metro Moutain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 menjadikan pasukan MTB 56 Cyclist dari Paka, Terengganu terus setia bersama siri keempat di Jasin, Melaka pada 28 dan 29 November ini.

Perunding Kelab Azlizan Ahmad berkata, sejak menyertai sirkit pertama hingga ketiga, ahlinya terus tercabar beraksi di sirkit keempat dan seterusnya pusingan akhir bulan depan.

Ini kerana katanya, trek disediakan penganjur sejak pusingan pertama amat mencabar menyebabkan pasukannya terus ‘ketagih’ menghantar peserta.

“Kami tidak sangka laluan di Nibong Tebal pada sirkit ketiga amat mencabar. Sebagai persedian kami perlu mempertingkatkan latihan pada laluan lebih keras dengan jarak 30 kilometer (km) untuk persediaan di Asahan nanti.

“Walaupun ketika ini kawasan Pantai Timur dilanda musim hujan, kami tetap komited melakukan latihan dengan meredah laluan dipenuhi lumpur bagi meningkatkan prestasi,” katanya.

Azlizan berkata, memandangkan kejohanan itu jatuh pada musim cuti persekolahan, pasukannya akan menghantar 30 peserta bagi menyahut cabaran pelumba handalan seluruh negara.

Katanya, walaupun pernah menyertai jamboree di Jasin sebelum ini, penganjuran MTB Harian Metro pasti berlainan kerana ia membabitkan trek baru yang bakal ditempuhi pelumba kelabnya.

“Kami menyertai semua kategori kecuali wanita dan meletakkan sasaran menaikkan ranking,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:04 AM