Susunan Michelle Gun

Sebelum ini, penyanyi dan pelakon kontroversi Miley Cyrus pernah mengejutkan orang ramai dengan persembahan melampau bersama Robin Thicke di pentas MTV Video Music Awards (VMA) pada 2013.

Namun tahun ini, Cyrus, 25, kembali menggegarkan pentas MTV VMA 2015 sebagai pengacara majlis penganugerahan yang berlangsung di Microsoft Theater, Los Angeles pada 30 Ogos ini.

Pemilik lagu Wrecking Ball itu mengumumkan pelantikan terbabit menerusi laman sosial Instagram baru-baru ini.

Cyrus memuat naik sekeping gambar yang memaparkan dia memakai kostum makhluk asing berwarna hijau sambil memegang poster bertulis ‘MTV tidak membenarkan saya membuat persembahan’ dan ‘Jadi, saya mengacara VMA tahun ini’.

Pada MTV VMA 2013, Cyrus dan Thicke menghiburkan penonton dengan persembahan lagu Blurred Lines. Persembahan mereka mencetuskan kontroversi apabila Cyrus melakukan tarian ‘twerk’ dengan anak patung beruang bersaiz besar sebelum membuat tarian lucah dengan Thicke.

Tahun lalu pula, Cyrus menjemput pengemis, Jesse Helt, 22, ke pentas MTV VMA untuk menjadi wakil menerima anugerah Video Terbaik yang dimenanginya.

Jemputan itu sebahagian daripada kempen kebajikan golongan belia yang tiada tempat tinggal di Los Angeles. Istimewanya, Helt turut diberi peluang membaca ucapan bagi pihak Cyrus.

Cyrus menghadiri MTV MVA pertamanya pada usia 15 tahun selepas dicalonkan sebagai Artis Baru Terbaik yang turut menyenaraikan penyanyi hebat Katy Perry dan Taylor Swift.

Malam kemuncak VMA bersiaran secara langsung di saluran MTV pada Ogos ini, jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 10:07 AM