Agensi

ANUGERAH Video Muzik MTV 2020 bakal diteruskan penganjurannya pada 30 Ogos ini bertempat di Barclays Center, New York, Amerika Syarikat (AS) dengan penonton berskala kecil atau tiada langsung disebabkan pandemik Covid-19.

Pengumuman itu dilakukan Gabenor New York, Andrew Cuomo dalam satu sidang media sejurus kejayaan penganjuran Anugerah BET 2020 yang diadakan secara virtual, semalam.

Ahli politik berusia 62 tahun itu menjelaskan, dia berjanji memastikan acara terbabit akan mengikut segala panduan keselamatan termasuklah mengehadkan atau tidak membenarkan penonton datang langsung.

Ini adalah pertama kali acara terbabit diadakan semula dalam Barclays Center sepanjang tempoh tujuh tahun. Kali terakhir, acara berprestij itu diadakan dalam dewan sama adalah pada 2013.

Pada acara terdahulu itu, pelbagai kontroversi jadi bualan termasuklah aksi Miley Cyrus dan Robin Thicke yang cukup panas dalam persembahan mereka. Cyrus menyanyikan lagu We Can't Stop manakala Thicke menerusi Blurred Lines.

Paling menarik perhatian juga apabila Justin Timberlake bergabung semula dengan anggota kumpulan N'Sync selepas sekian lama. Timberlake turut dianugerahkan trofi utama, Video Terbaik menerusi lagu Mirrors.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 10:29 AM