Guwahati (India): Wanita warga emas dibunuh kejam sebelum kepala dipenggal dan mayatnya dikerat penduduk kampung yang bersenjatakan parang kerana disyaki bomoh yang mengamalkan sihir.

Moni Orang, 63, ibu kepada lima anak diheret dari rumahnya di timur laut Assam kelmarin selepas sami tempatan menuduhnya mengamalkan ilmu hitam.

Pegawai kanan polis Manabendra Dev Roy berkata: “Penyerang yang bersenjatakan parang pergi ke kampung berkenaan dan menangkap Moni. Dia kemudian dibunuh kejam, anggota badannya dikerat dan kepalanya dipenggal.”

Katanya, tujuh yang terbabit dalam pembunuhan Moni berjaya ditangkap.

Sementara itu, semalam, penduduk kampung menyerbu balai polis bagi membantah penangkapan tujuh suspek itu.

Penduduk kampung, Kiran Teronpi berkata: “Moni ahli sihir, dia menjampi sesiapa sahaja yang menjadi musuhnya. Memang dia wajar dibunuh dan tidak patut langsung dilindungi.”

Suami mangsa berkata, isterinya tidak bersalah dan menuduh sami terbabit menyebarkan fitnah dan ketakutan disebabkan menyimpan prasangka buruk terhadap mangsa.

Kepercayaan kepada ilmu sihir dan ilmu ghaib sehingga kini masih berleluasa di beberapa daerah miskin dan kawasan yang didominasi suku kaum di India.

Ada kes dimana wanita yang dituduh mengamalkan sihir dibogel, dibakar hidup-hidup atau dihalau keluar dari rumah dan dibunuh sebagai hukuman. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 5:04 AM