Manchester: Louis van Gaal mahu melihat Robin van Persie mempamerkan lebih banyak peningkatan walaupun penyerang Belanda itu bangkit daripada kritikan sejak kebelakangan ini dengan membantu Manchester United menang 3-0 ke atas Hull.

Van Persie membuat hantaran bagi membolehkan Wayne Rooney menghasilkan jaringan dan dia sendiri turut menyumbang satu gol pada babak kedua perlawanan yang menyaksikan United kembali menduduki kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris menjelang pertemuan menentang Stoke Selasa ini.

Bekas bintang Arsenal itu hanya meledak empat gol musim ini tetapi aksi yang dipamerkan itu jauh lebih baik daripada ketika mereka menang ke atas Arsenal apabila dia hanya menyentuh bola 13 kali.

Pengurus United Van Gaal menggunakan sidang akhbar sebelum perlawanan menentang Hull sebagai medan untuk beliau meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap sumbangan Van Persie selain mendedahkan Radamel Falcao sudah sembuh sepenuhnya dan berpeluang menggantikannya.

Van Persie membalas cabaran itu dengan baik tetapi Van Gaal berkata, penyerang berkenaan masih mempunyai permainan yang belum dipersembahkan.

“Setiap penyerang perlu menjaringkan gol. Apabila anda tidak menjaringkan gol sepanjang dua atau tiga perlawanan, anda perlu berbuat demikian pada perlawanan seterusnya.

“Justeru, saya gembira dengannya apabila dia menjaringkan gol kedua pasukan dan saya yakin aksinya selepas ini akan lebih baik lagi.”

Satu-satunya kebimbangan Van Gaal ialah kecederaan yang melanda Angel di Maria yang cedera di hujung permainan.

“Mengenai Di Maria, sukar untuk saya membuat kenyataan lanjut berhubung kecederaannya tapi dia sudah pasti tidak akan bermain untuk aksi menentang Stoke Selasa ini.

“Dia lebih sedar dengan kemampuan tubuhnya. Dia memberitahu hamstring tapi saya tidak tahu sejauh mana seriusnya kecederaan itu.

“Wayne Rooney memberitahu saya bahawa dia sedia untuk bermain Selasa ini. Dia tidak pernah menolak untuk bermain.

Rooney cedera di betis tapi selepas itu, dia berdepan masalah dengan lututnya. Saya tidak fikir kecederaannya serius. Dia sudah tentu boleh bermain Selasa ini,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:06 AM