Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: FELDA Global Venture Holdings Bhd (FGV) positif dengan perkembangan kerjasama yang dijalin bersama Indonesia bagi membangunkan kawasan ekonomi khusus yang antara lain memberi ruang kepada FGV meningkatkan kehadiran di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Mohamad Emir Mavani Abdullah berkata, FGV dipelawa pihak Indonesia untuk membangunkan kawasan berkenaan yang masih belum ditentukan lokasinya.

“Pihak Indonesia mahu FGV membantu mereka membangunkan kawasan berkenaan memandangkan kami mempunyai kepakaran dan pengalaman luas.

“Ia memberi impak positif kepada FGV bukan saja daripada aspek perniagaan, malah menambah keyakinan rakan strategik global terhadap keupayaan FGV,” katanya selepas majlis penyerahan Laporan Lawatan ke Banjarmasin dan Jayapura, Indonesia di sini, semalam.

Menurutnya, melalui pembangunan berkenaan, FGV bukan saja diberi peluang untuk mengusahakan sektor penanaman kelapa sawit di sana, sebaliknya ia turut meliputi pembekalan baja dan benih.

“Malah, kami turut diberi peluang untuk membekalkan minyak ke negara berkenaan,” katanya.

Mohamad Emir berkata, buat masa ini, pihaknya belum dapat menentukan nilai dagangan yang boleh dijana daripada penyertaan dalam projek berkenaan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa, FGV akan menubuhkan syarikat usahasama dengan Rajawali Group di Indonesia untuk mewujudkan kawasan industri khusus.

Difahamkan, kerajaan Indonesia akan memilih satu daripada lima tempat yang berpotensi iaitu di Balikpapan Kalimantan, Surabaya, Papua, Jayapura dan Dumai yang mempunyai infrastruktur seperti pelabuhan dan lapangan terbang.

Selepas projek itu siap kelak, Indonesia, menerusi gabungan kepakaran Malaysia akan muncul sebagai hab industri kelapa sawit terbesar di dunia.

Jun lalu, FGV mengukuhkan kedudukannya sebagai satu daripada tiga syarikat perladangan terbesar dunia apabila mengambil alih dua lagi kawasan perladangan di Kalimantan, Indonesia seluas 21,037 hektar. Pembelian itu menjadikan keluasan ladang yang diuruskannya kepada 446,000 hektar, termasuk 77,422 hektar di Indonesia.

Di Indonesia, FGV kini memiliki 42,000 hektar ladang sawit di Kalimantan Timur dan Kalimantan Barat menerusi Trurich Resource Sdn Bhd, iaitu syarikat usahasama FGV Kalimantan Sdn Bhd dan Lembaga Tabung Haji, serta 14,385 hektar di Kalimantan Barat menerusi anak syarikatnya, PT Citra Niaga.

Pengambilalihan yang pertama membabitkan pembelian 95 peratus kepentingan dalam PT Temila Agro Abadi, yang memiliki ladang sawit seluas 8,193 hektar di Kalimantan Barat pada harga RM25.695 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 6:25 AM