NOOR Azlan (kanan) dan Syed Salim (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Dr Syarul Nataqain.
NOOR Azlan (kanan) dan Syed Salim (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Dr Syarul Nataqain.

Masalah penyakit kulat ganoderma yang menyerang pokok kelapa sawit dianggap ancaman serius terhadap industri sawit negara.

Jika tidak dikawal secara konsisten, industri sawit dijangka mengalami kerugian besar, sekali gus menjejaskan pengeluaran hasil dan akhirnya pokok mati.

Sehubungan itu, FELDA Global Ventures R&D Sdn Bhd (FGV R&D) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) menghasilkan ejen biokawalan serta biobaja.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, pihaknya melalui Institut Biologi Sistem (INBIOSIS) bakal menjalankan kajian dalam tempoh dua tahun bermula Oktober tahun lalu.

Beliau berkata, kajian membabitkan pembangunan pencetus biotik dan abiotik yang berpotensi untuk meningkatkan penghasilan metabolit mikrob berfaedah sekali gus menghasilkan ejen biokawalan serta biobaja berpotensi untuk dikomersialkan.

“Projek ini diketuai Ketua Pusat Bioteknologi Tumbuhan, Pusat Analisis dan Teknologi Genom INBIOSIS UKM, Dr Syarul Nataqain Baharum dan Ketua Patologi Tumbuhan FGV R&D, Dr Ahmad Radhzlan Rosli.

“Dalam usaha meningkatkan keupayaan dan pengeluaran kelapa sawit yang berdaya saing serta pemangkin kepada ekonomi negara, kami sudah mengadakan kerjasama dalam projek penyelidikan berimpak tinggi,” katanya selepas majlis memeterai perjanjian antara FGV R&D dan INBIOSIS UKM di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Kluster FGV R&D Syed Salim Syed Ali dan Pengarah INBIOSIS UKM Prof Dr Ismanizan Ismail.

Noor Azlan berkata, FGV R&D bersetuju memperuntukkan dana RM150,000 bagi tujuan ini supaya boleh dimanfaatkan kedua-dua pihak.

“Bagi memastikan kelestarian dan pemantapan kerjasama penyelidikan ini untuk jangka masa panjang, satu makmal kolaborasi dibina di INBIOSIS dan di FGV R&D.

“INBIOSIS bakal menjalankan analisis metabolomik menggunakan metabolomics module dibangunkan kumpulan metabolomiks INBIOSIS,” katanya.

Menurutnya, pertukaran penyelidik dan pelajar adalah salah satu aktiviti bakal dijalankan melalui kerjasama ini supaya ia dapat memberi hasil impak yang baik seterusnya menjadi pakar rujukan untuk projek ini.

“Saya percaya melalui teknologi pelantar yang ditawarkan INBIOSIS terutama dalam bidang metabolomik dapat menyumbang secara signifikan dan dapat memberi impak dalam bentuk penyelesaian masalah utama industri sawit,” katanya. -Mohamad Hussin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 5:36 AM