LOKASI kejadian bayi ditemui dikerat. FOTO Danial Noordin
LOKASI kejadian bayi ditemui dikerat. FOTO Danial Noordin
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Polis sudah menemui pisau dipercayai digunakan dalam kejadian ibu mengeratkan bayi yang dilahirkannya kepada lapan bahagian, petang semalam.

Pisau pemotong sayur sepanjang 20 sentimeter (sm) berkenaan ditemui di dalam bekas polistrin dalam bilik air di Kampung Manggol, di sini, kira-kira 6.15 petang.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, suspek berusia 30-an yang dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar membawa sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian.

Menurutnya, suspek menunjukkan senjata yang digunakan untuk memotong bayi di dalam bekas polistrin putih dalam bilik mandi di rumah berkenaan.

"Pisau pemotong sayur sepanjang lebih kurang 20 sm ditemui dan dirampas oleh pihak polis untuk siasatan.

"Setakat ini, suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan DNA dan doktor daripada hospital.

"Kertas siasatan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik siasatan selesai untuk dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mayat bayi kerat lapan ditemui di dalam tangki najis di rumah di Kampung Manggol, di sini.

Hasil bedah siasat ke atas bayi mendapati mangsa sudah meninggal dunia ketika dilahirkan dan ada kesan hirisan daripada objek pipih dan tajam.

Ends15

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 12:04 PM