Oleh Ibrahim Isa


Pagoh: Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan bagi menyiasat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) diyakini akan melaksanakan tanggungjawab dengan telus dan adil .

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dilantik menganggotai pasukan itu untuk menyiasat pelbagai tuduhan yang dilemparkan sebelum ini.

"Saya menyokong penuh pasukan yang dibentuk ini dan setuju perkara ini disiasat dengan segera.

"Ia perlu diselesaikan segera bagi memulihkan keadaan yang meresahkan pelbagai pihak sejak kebelakangan ini.

"Paling penting, siasatan ini telus dan mengikut undang-undang tanpa mengira siapa pun terbabit," katanya ketika berucap pada Majlis Tadarus, Khatam Al-Quran dan Iftar Umno Bahagian Pagoh di Masjid Jamek Kampung Hujung Tambak, Gersik, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, orang ramai perlu sedar penubuhan pasukan itu bukannya untuk mencari kesalahan sesiapa, sebaliknya menyiasat tuduhan menyeluruh membabitkan 1MDB.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, kebenaran berkaitan 1MDB amat penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap kepimpinan negara.

"Sempena Ramadan yang mulia ini, marilah kita berdoa agar semuanya kembali pulih dan bagilah ruang kepada pasukan itu menjalankan tugas mereka.

"Ketika ini, rakyat dan masyarakat dunia melihat negara ini dengan penuh minat dan amat penting untuk mengembalikan keyakinan semua pihak.

"Sebagai pemimpin, perkara paling penting adalah menjaga kebajikan rakyat dan semua pihak perlu kembali kepada landasan Islam untuk berjaya," katanya.

Menurutnya, Malaysia tidak seperti negara Islam lain kerana sejak Merdeka, rakyat hidup makmur dan aman walaupun mempunyai pelbagai bangsa dan agama.

"Pada masa sama, janganlah menganggap pelbagai kejadian yang menimpa negara seperti kehilangan MH370, nahas MH17 dan gempa bumi di Sabah sebagai bala kerana setiap kejadian mempunyai rahmat tersendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 8:50 PM