DANA 1MDB yang disyaki disalahgunakan di 17 negara. FOTO Arkib NSTP
DANA 1MDB yang disyaki disalahgunakan di 17 negara. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


SEBANYAK RM1.4 bilion dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di luar negara berjaya dikembalikan hasil usaha pasukan petugas dipertanggungjawabkan untuk menjejaki dana itu.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan, hari ini berkata, sejumlah RM6.9 bilion lagi wang dana berkenaan juga sudah dikenal pasti.

Katanya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diberikan taklimat khas oleh pasukan petugas yang dipertanggungjawabkan untuk menjejak dana berkenaan, pagi hari ini.

“Pasukan ini terdiri daripada wakil Jabatan Peguam Negara, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MOF).

“Mereka turut memberikan perincian tindakan yang dilaksanakan untuk membawa pulang dana 1MDB yang disyaki disalahgunakan di 17 negara,” katanya.

Katanya, Muhyiddin turut mengarahkan supaya usaha untuk menjejak dan mengembalikan dana 1MDB dari pelbagai negara terus dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 6:21 PM