Oleh Hairulazim Mahmud


Kuala Lumpur: Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP.

Bagaimanapun, pembuat keputusan tertinggi parti Islam itu mengekalkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Setiausahanya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, PAS istiqamah dengan prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua yang menegakkan keadilan dan kesejahteraan untuk semua kaum.

"Bagaimanapun, Majlis Syura Ulama kesal dengan tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP yang mengecam selain melanggar semangat kerjasama pakatan pembangkang serta campur tangan dalam akidah, dasar dan matlamat parti ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, kata Nik Muhammad, PAS tetap teguh berpegang dengan dasar-dasar Islam ketika berhubung dengan semua pihak.

Oleh kerana itu, katanya, PAS konsisten meneruskan hubungan dengan semua pihak menerusi hubungan tahaluf siasi bersama parti politik dan badan bukan kerajaan bukan Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 1:07 PM