Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendengar ucapan perbahasan dasar presiden daripada pembahas sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut. FOTO Amran Hamid
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendengar ucapan perbahasan dasar presiden daripada pembahas sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut. FOTO Amran Hamid
Hairulazim Mahmud


Tiga sayap PAS diketuai Dewan Ulama diikuti Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda sebulat suara mahu tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditamatkan, diputuskan atau cukuplah setakat ini.

Usul berkenaan akan dibawa ke Muktamar Tahunan PAS ke-63 yang sedang berlangsung di Kompleks PAS Kota Sarang Semut sebelum diangkat kepada Majlis Syura Ulama kerana keputusan tahaluf adalah berkaitan syarak maka sebarang penetapan adalah melalui pembuat keputusan tertinggi PAS itu.

Sebaik saja usul berkenaan dipersetujui tanpa bahas oleh semua sayap parti, pemimpin PKR iaitu Naib Presiden Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution memberikan reaksi mereka.

Rafizi dengan reaksi bongkaknya manakala Saifuddin tak sabar-sabar meminta segera Majlis Syura Ulama membuat keputusan seterusnya meminta Exco PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor melepaskan jawatan.

Sedangkan, tubuh badan yang menjadi tumpuan 'serangan' perwakilan iaitu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berdiam diri.

Semua tahu pertembungan antara Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dengan Rafizi.

Mereka dari kem yang berbeza dalam PKR. Dalam Mohamed Azmin berusaha mengekalkan hubungan dengan PAS sementara Rafizi bersungguh-sungguh mahu menghancurkannya.

Ia umpama rona hitam dan putih yang tidak boleh dipisahkan, jika Mohamed Azmin yang putih maka hitamnya ialah Rafizi.

Mereka berdua tidak pernah 'sebulu' lebih-lebih lagi sejak Langkah Kajang yang dikepalai Rafizi.

Kerana itu sekiranya Majlis Syura Ulama membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PKR maka parti berkenaan akan berpecah kerana kem Mohamed Azmin sayang PAS tapi sebaliknya bagi kem Rafizi.

Adakah itu menjadi kelebihan bagi PAS? Ya sekiranya mereka yang mahu bersama parti Islam itu dengan menyertainya sebagai ahli.

Kerana untuk menubuhkan parti lain kemungkinan tidak, berikutan masa terlalu suntuk menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi.

Apa pun, yang akan membuat keputusan akhir ialah Majlis Syura Ulama. Ahli PAS pastinya akan patuh dan taat kepada setiap keputusan badan pembuat keputusan tertinggi parti kerana itulah sikap ahli PAS yang ketaatan mereka tidak berbelah bahagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 4:56 PM