DR Mohd Azlan  (kiri) pada majlis   menandatangani perjanjian dengan  Mohd Shah  (kanan) di  Wisma UN Jalan Dungun.
DR Mohd Azlan (kiri) pada majlis menandatangani perjanjian dengan Mohd Shah (kanan) di Wisma UN Jalan Dungun.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Pusat Transformasi Luar Bandar Johor (RTC Johor) menyasarkan pendaftaran kira-kira 30,000 petani di bawah kendaliannya ke dalam Program Pertanian Mampan Bersepadu (iSAP) menjelang akhir tahun ini apabila menandatangani perjanjian dengan Global Compact Network Malaysia (Local Network).

Melalui perjanjian terbabit, petani tempatan akan disenaraikan ke tahap global melalui proses pendaftaran (passport) dan jaminan Nombor Biru iaitu identifikasi secara percuma oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN).

Pengurus Besar RTC Johor Dr Mohd Azlan Ab Jalil berkata, kerjasama itu akan menggalakkan penyertaan dan kehadiran petani tempatan dalam Pendaftaran Global bagi keselamatan makanan, sekali gus memastikan mereka dapat dikenal pasti secara lebih meluas.

“Selain itu, ia akan membawa manfaat kepada komuniti pertanian atau individu yang terbabit dalam ekosistem pembekalan dan permintaan bagi hasil pertanian,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu di sini, semalam.

Program iSAP adalah platform global yang diperkenalkan UN bertujuan menghimpunkan petani di seluruh dunia untuk membangunakan pendaftaran global terbuka bagi mengenal pasti sumbangan jutaan petani dan perniagaan pertanian kecil kepada sistem makanan dunia.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan pendaftaran kira-kira 100,000 petani dalam tempoh tiga tahun akan datang daripada lebih 600,000 petani berpotensi yang terdapat di seluruh negara.

“Sehingga kini, kami sudahpun memiliki platform e-Dagang sendiri dengan pendaftaran daripada petani dan perusahaan kecil sederhana (PKS) tempatan di mana masing-masing memiliki potensi pertumbuhan tinggi pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Local Network, Mohd Shah Hashim berkata, platform iSAP akan menyediakan Nombor Biru kepada petani dan perniagaan yang berada di negara ini dengan mewujudkan profil awam dan maklumat asas seperti nama, jenis perusahaan serta koordinat GPS.

Menurutnya, nombor terbabit membolehkan petani memiliki akses kepada Platform Teknologi UN di mana ia mengekalkan akreditasi petani dan PKS serta maklumat mengenai kemahiran dan pembangunan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 6:56 AM