Oleh Abdul Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pendahulu Liga Perdana, T-Team tidak tertekan dengan pencabar Kedah yang mengekori rapat pasukan itu dengan perbezaan dua mata.

Sebaliknya, T-Team bertekad mahu memastikan tiga mata menjadi milik The Titans apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner yang berjaya membentuk pasukan mantap berkata, tidak ada sebab buat pemain tertekan walaupun pasukan Helang Merah itu semakin mengejar T-Team.

“Beraksi di laman sendiri bakal memberi kelebihan kepada tuan rumah apatah lagi bakal dihadiri ribuan penyokong sendiri, justeru saya berkeyakinan pemain mampu merealisasikan impian untuk terus menguasai carta liga,” katanya.

Sekiranya The Titans tewas dalam pertemuan itu, pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe itu akan merampas kedudukan teratas liga yang kini mengumpul 31 mata manakala T-Team 33 mata.

Mengulas lebih lanjut mengenai perlawanan itu, jurulatih dari Croatia itu berkata, biarpun mempunyai pemain terhad apatah lagi belum mendapat lampu hijau untuk mendapatkan khidmat pemain import baru menggantikan mendiang David Oniya, beliau tetap melaungkan keyakinan pemainnya mampu beraksi dengan baik setiap kali beraksi.

“Kami tidak akan memberi laluan mudah buat Kedah, sebaliknya dengan kehadiran semula pemain sayap Mohd Norhakim Hassan dan pemain tengah Badrul Hisyam Morris, kami bertekad untuk memburu kemenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 10:36 AM