ZAMRI (tiga kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Superintendan Abd Razak Md Zin (dua kanan) menunjukkan sebahagian daripada ketulan ganja mampat dan pistol yang dirampas. FOTO Sharul Hafiz Zam
ZAMRI (tiga kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Superintendan Abd Razak Md Zin (dua kanan) menunjukkan sebahagian daripada ketulan ganja mampat dan pistol yang dirampas. FOTO Sharul Hafiz Zam
Oleh Norul Awatif Romli


Alor Setar: Polis Kedah menahan tiga lelaki dan merampas sembilan ketulan mampat dadah dipercayai ganja seberat 8.8 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM27,000 dalam satu pemeriksaan kenderaan di Kilometer 16 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Changlun, kira-kira 10 malam semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 30 hingga 47 tahun itu ditahan selepas sepasukan polis yang menjalankan rondaan mendapati kereta dinaiki suspek dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan awal polis menjumpai ketulan mampat itu berada di bonet belakang kereta dan ujian saringan dijalankan mendapati dua daripadanya positif dadah.

"Kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari hingga Sabtu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di Bilik Media IPK Kedah, di sini, hari ini.

Zamri berkata, dalam serbuan berasingan kelmarin, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Kedah dibantu JSJ Bukit Aman menahan dua lelaki dan merampas sepucuk pistol Revolver .38 Smith & Wesson bersama sepucuk pistol tiruan serta satu paket bebola besi.

"Kedua-dua suspek berusia 20 dan 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 30 petang di Kilometer 11 Lebuhraya Changlun-Kubang Pasu, dekat sini," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek yang juga warga tempatan itu dipercayai dari negara jiran (Thailand) dan sedang dalam perjalanan menuju ke selatan untuk bertemu rakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 4:38 PM